Anggota bomba menggunakan bahan pemadam api jenis buih untuk memadamkan kebakaran tangki penyimpanan minyak hitam di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Bukit Rambai. FOTO Hasbullah Azhar
Anggota bomba menggunakan bahan pemadam api jenis buih untuk memadamkan kebakaran tangki penyimpanan minyak hitam di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Bukit Rambai. FOTO Hasbullah Azhar
Hasbullah Azhar


DIANGGARKAN lebih 100,000 liter minyak hitam yang disimpan dalam lima tangki di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka, musnah dalam kebakaran 3 petang hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat negeri Zulkifli Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.20 petang.

"Kebakaran membabitkan minyak, jadi kami terpaksa membawa 35 tong 'foam' (bahan pemadam api jenis buih) untuk bantu kawal dan padamkan api sepenuhnya.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian belum dapat dipastikan. Ada 20 tangki penyimpanan minyak di kilang itu dan hanya lima saja terbakar," katanya.

Beliau berkata, kebakaran turut memusnahkan dua lori tangki diparkir berhampiran termasuk sebuah yang sarat dengan muatan 5,000 liter diesel.

Operasi membabitkan 45 pegawai dan anggota itu ditamatkan pada 5.35 petang selepas api padam sepenuhnya.

Namun, sepasukan anggota dan jentera masih ditempatkan di lokasi sebagai langkah berjaga-jaga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 8:02 PM