Rosli Ilham

TANGKI minyak yang dipercayai menakung 40,000 liter minyak mentah milik sebuah syarikat di kawasan Perindustrian Teluk Kalong, dekat Kemaman, terbakar petang ini.

Kebakaran jam 6.15 petang itu yang menyebabkan asap hitam dan tebal di sekitar kawasan terbabit.

Harian Metro difahamkan tangki besar yang terbakar itu mampu mengisi kira-kira 300, 000 liter minyak mentah.

Ketika kebakaran itu berlaku, tangki terbabit dipercayai hanya mengandungi kira-kira 40,000 liter minyak.

Sehingga jam 8 malam ini, bomba giat melakukan kerja pemadaman untuk mengelak api merebak ke tangki bersebelahan

Operasi membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai dan Kerteh.

Selain itu, kerja memadam kebakaran itu turut dibantu pasukan dan anggota Persatuan Kilang-kilang di kawasan Industri terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 8:37 PM