DUA lelaki ditahan PPM dalam Op Benteng Covid-19. FOTO Ihsan PPM
DUA lelaki ditahan PPM dalam Op Benteng Covid-19. FOTO Ihsan PPM
Norsyazwani Nasri


DUA lelaki berputih mata apabila cubaan menyeludup minyak diesel berjaya dihidu Unit Risikan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak, tengah hari semalam.

Masing-masing yang berusia 34 dan 50 tahun itu ditangkap dalam Op Benteng Covid-19 di Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya, Kuching pada 2.10 petang.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, ACP Shamsol Kassim berkata, pihaknya merampas lori tangki Toyota Hino dan tangki berisi minyak diesel anggaran 1,428.57 liter dengan jumlah keseluruhan bernilai RM104,000.

"Anggota kita membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori yang mencurigakan. Hasil pemeriksaan kita menjumpai dua tangki minyak berisi minyak diesel.

"Pemandu lori dan pekerjanya itu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkenaan bahan api itu. Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan. Barang kes dan suspek dibawa ke Markas PPM Wilayah 5 Sarawak untuk urusan dokumentasi, kes diserahkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut," katanya melalui kenyataan.

Sementara itu, dalam kes berasingan di di Jalan Mawar, Pekan Bekenu, Miri, Rabu lalu pihaknya turut merampas lori dan minyak diesel seludup dianggarkan bernilai RM 42,653.35.

"Seorang lelaki warga tempatan berusia 62 tahun ditangkap dalam operasi 12.30 tengah hari kerana membawa muatan lapan tong drum warna merah berisi minyak diesel lebih kurang 1609.557 liter yang dimuatkan di ruang belakang lori.

"Kita membuat pemerhatian lebih kurang setengah jam sebelum menahan dan memeriksa lori itu di lokasi. Kes itu juga diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 11:25 AM