Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas kesalahan memberi suapan berjumlah RM101 kepada anggota sukarelawan polis, tahun lalu.

Hukuman dijatuhi Hakim Fathiyah Idris selepas tertuduh Mohamad Daud Abdullah, 53, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Suapan diberikan tertuduh kepada Konstabel Peh Chee Chong sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam bersama seorang wanita.

Perbuatan berkenaan dilakukan di Jalan S2 G2 Garden Avenue, Seremban 2, di sini, pada 11.20 malam, 9 Jun 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Karmila Mokhtar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda selain wang suapan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 12:15 PM
TERTUDUH diiringi anggota SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
TERTUDUH diiringi anggota SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman