Oleh Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur : Peneroka tanah dipenjara tiga tahun dan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi rasuah RM20,000 berhubung penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, Pahang, dua tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Meng Lee, 45, selepas pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini dan tambahan hukuman penjara 12 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi rasuah RM20,000 kepada Abdul Rahman Sulaiman, iaitu Penolong Pegawai Tanah Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Pahang.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap tertuduh kerana meneroka tanah secara haram di Hutan Simpan Sungai Terla Kampung Raja, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands dan melanggar Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan itu di MM Cafe, Bukit Bintang, jam 9.15 malam, pada 8 Oktober 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 6:06 PM