PENGUNJUNG melihat model rumah yang dipamerkan pada Pameran Hartanah MyRumah 2017, semalam.
PENGUNJUNG melihat model rumah yang dipamerkan pada Pameran Hartanah MyRumah 2017, semalam.
Norazimah Narudin


Johor Bahru: Pameran Hartanah MyRumah 2017 anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) yang bermula kelmarin dilihat dapat membantu pemaju dalam penjualan unit rumah yang tidak habis dijual selain memperkenalkan projek rumah terbaru.

Wakil Pemaju MB World Group Syamsilla Syamsudin berkata, pihaknya mengikuti pameran ini berikutan ingin menghabiskan 20 peratus daripada 320 unit rumah teres satu tingkat Seri Penawar Desaru.

“Pada fasa pertama, kami menjual 80 peratus daripada 320 unit rumah dan untuk pameran ini, kami berhasrat menjual 20 peratus lagi unit rumah yang belum habis terjual.

“Kebanyakan pelanggan yang datang membeli unit rumah adalah pekerja di kawasan Pengerang manakala selebihnya orang tempatan yang ingin menjadikan rumah berkenaan sebagai rumah sewa,” katanya ketika ditemui di tapak pameran di Komtar JBCC, di sini, semalam.

Syamsilla berkata, harga rumah ditawarkan syarikatnya yang berkeluasan 20 x 70 kaki persegi adalah RM297,000 bagi unit Bumiputera manakala unit antarabangsa RM350,000.

Menurutnya, ada beberapa keistimewaan ditawarkan pihaknya termasuk memberi yuran guaman secara percuma, alih nama percuma, pinjaman dan perjanjian jual beli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 9:55 AM