MANGSA parah dibelasah kumpulan remaja. Gambar kanan, dua suspek diserahkan kepada polis  selepas ditangkap orang ramai.
MANGSA parah dibelasah kumpulan remaja. Gambar kanan, dua suspek diserahkan kepada polis selepas ditangkap orang ramai.
myMetro

Kuala Lumpur: Lagak tidak ubah seperti samseng apabila sekumpulan remaja membelasah seorang peniaga yang menasihati seorang suspek supaya berkelakuan baik serta tidak membuat bising.

Dalam kejadian jam 11 pagi, Rabu lalu, mangsa yang berniaga barangan Muslimah parah dipukul sembilan remaja di premis perniagaannya di tingkat dua pusat beli-belah di Taman Melati, di sini.

Seorang saksi yang juga pekerja di pusat beli-belah berkenaan berkata, kejadian berlaku selepas mangsa berusia 30-an menegur seorang pelajar tingkatan dua yang membuat bising.

Bagaimanapun katanya, pelajar lelaki berusia 14 tahun terbabit melawan peniaga terbabit dengan mengeluarkan kata-kata kesat menyebabkan dia dipukul.

“Susulan kejadian itu, remaja terbabit dipercayai memaklumkan kejadian itu kepada abangnya yang berusia 21 tahun.

“Abang pelajar itu bersama lebih sembilan rakannya menyerang peniaga itu sehingga menyebabkan mangsa parah dibelasah menggunakan besi.

“Bagaimanapun, dua daripada suspek yang memukul peniaga terbabit ditangkap orang ramai. Ini termasuk abang pelajar itu sebelum diserahkan kepada polis,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kes terbabit yang dibuat keluarga pelajar dan isteri peniaga terbabit.

Katanya, keluarga pelajar terbabit mendakwa anak mereka dipukul peniaga terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 6:28 AM