TUAN Ahmad Amar Tuan Azlan. FOTO ihsan pembaca
TUAN Ahmad Amar Tuan Azlan. FOTO ihsan pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PENUNTUT Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tuan Ahmad Amar Tuan Azlan, 22, yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ditemui selamat oleh ahli keluarganya hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata, penuntut yang berasal dari Gerik, Perak itu ditemui di Masjid al-Mustakim, Seriab pada 7 pagi selepas dia menelefon ibunya melalui telefon awam.

“Alhamdulillah Tuan Ahmad Amar sudah ditemui dalam keadaan selamat pagi tadi oleh ahli keluarganya di masjid berkenaan.

“Dia ditemui dalam keadaan keletihan meskipun tidak mengalami sebarang masalah kesihatan ketika ditemui dan kita juga tidak mahu terlalu menekannya dengan menanyakan berbagai soalan berhubung kehilangan beliau beberapa hari ini,” katanya.

Semalam Tuan Ahmad Amar dilaporkan hilang selepas keluar dari kolej kediamannya di Sungai Chuchuh, Padang Besar, Rabu lalu.

Kehilangan penuntut terbabit disedari rakan sebilik apabila dia tidak pulang sehingga malam selain tidak membawa barangan peribadi sebelum kehilangannya itu dilaporkan kepada polis.

Mohd Fo’ad berkata, kini penuntut terbabit sudah dibawa pulang ke kampung halamannya di Gerik oleh ahli keluarga hari ini sejurus dia ditemui.

“Pihak kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari Tuan Ahmad Amar sehingga dia ditemui.

“Sehubungan itu, janganlah ditimbulkan sebarang spekulasi atau maklumat yang tidak benar sehingga ia dilihat menjatuhkan kredibiliti sebahagian pihak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad ketika dihubungi mengesahkan penemuan pelajar berkenaan dan kes terbabit ditutup selepas penemuan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 12:57 PM