KEBANYAKAN kawasan mengalami hujan dan ribut petir pada sebelah petang serta senja.
KEBANYAKAN kawasan mengalami hujan dan ribut petir pada sebelah petang serta senja.
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Fasa peralihan monsun yang dialami negara ketika ini menyebabkan beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung, barat Sabah dan tengah Sarawak menerima hujan serta ribut petir sejak beberapa hari lalu.

Menurut jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia, kebanyakan kawasan mengalami hujan dan ribut petir pada sebelah petang serta senja menyebabkan cuaca lembap dan keadaan ini dijangka mengurangkan kesan suhu panas yang berlaku secara beransur-ansur.

“Sehingga lewat petang ini (semalam), ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang berterusan berlaku di Sabah membabitkan bahagian pedalaman iaitu daerah Kuala Penyu, Beaufort, Sipitang, Tenom, Keningau dan Tambunan.

“Selain itu, turut mengalami cuaca berkenaan termasuk pantai barat Sabah, selain di Kudat dan Sandakan membabitkan Beluran dan Tongod serta Wilayah Persekutuan Labuan serta Sarawak di bahagian Limbang dan Miri,” katanya.

Sementara itu, laman web rasmi jabatan terbabit menjelaskan, ribut petir boleh berlaku sepanjang tahun tetapi selalunya tempohnya antara monsun iaitu dari April hingga Mei dan dari Oktober hingga November.

Menurutnya, di daratan, ribut petir lazimnya terjadi pada waktu petang dan senja, manakala di lautan, ia kerap berlaku pada sebelah malam.

“Kebanyakan keadaan cuaca yang berbahaya mempunyai kaitan dengan badai petir.

“Kita bernasib baik kerana keadaan cuaca sebegini hanya berlaku di kawasan yang agak kecil dan hanya menyebabkan kerosakan ringan.

“Dalam sesuatu keadaan, jumlah hujan yang tinggi semasa kejadian ribut petir menyebabkan banjir kilat yang dapat mengubah air terjun kecil menjadi arus deras yang berbahaya dalam masa beberapa minit, membawa bersama longgokan batu besar dan sebahagian besar daripada struktur buatan manusia.

“Angin kencang sehingga 200 kilometer sejam dengan ribut petir boleh merobohkan pohon dan tiang elektrik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 9:12 AM