Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur : Kejadian ribut yang menjejaskan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri pantai barat Semenanjung berpunca daripada kemasukan angin langkisau melalui daratan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Datuk Che Gayah Ismail berkata, angin langkisau (gusting) selalunya dikaitkan dengan fenomena musim peralihan daripada Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya.

“Angin langkisau terbentuk daripada kelompok awan kumulonimbus yang bergerak masuk dengan pantas ke kawasan daratan terutama sekarang di negeri pantai barat semenanjung.

“Kejadian ribut petir yang berlaku selalunya disertai dengan hujan lebat dan angin langkisau yang bertiup kencang serta tidak menentu haluannya sehingga mencapai kelajuan 60 hingga 70km/jam.

“Pada masa yang sama, angin kencang 40 hingga 50km/jam sememangnya turut berlaku di kawasan perairan menyebabkan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berbahaya kepada bot-bot kecil,” katanya.

Katanya, ribut petir dan hujan lebat dijangka lebih kerap berlaku pada sebelah petang hingga awal malam, malah boleh mengakibatkan angin kencang dan banjir kilat terutama di kawasan bandar.

Katanya, antara negeri yang sedang mengalami angin langkisau sekarang ialah Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

Menurut Che Gayah lagi, peralihan itu berlaku dua kali setahun apabila monsun timur laut dalam proses beralih kepada monsun Barat Daya dan apabila monsun Barat Daya dalam proses beralih ke monsun Timur Laut.

“Cuaca buruk kebelakangan ini adalah situasi lazim mengikut kitaran musim peralihan monsun yang berlaku sehingga hujung Mei.

“Fenomena cuaca ini bermula dari hujung Mac hingga hujung Mei dan sekali lagi pada Oktober nanti,” katanya.

Che Gayah menasihatkan mereka merancang semula aktiviti harian dan jika ada yang penting, lakukannya pada waktu pagi dan tengah hari manakala pada sebelah petang elakkan berada di luar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui talian hotline 1-300-22-1638, laman web cuaca dan laman sosial MetMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 7:45 AM