FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Baharom Bakar


RIBUT petir, hujan lebat dan angin kencang yang berpotensi menyebabkan banjir kilat dijangka berlaku ketika peralihan tempoh fasa peralihan monsun mulai akhir bulan ini.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia negeri menjelaskan keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat dan mengakibatkan kerosakan struktur bangunan yang tidak kukuh.

Jelasnya, ketika fasa peralihan monsun keadaan cuaca lazimnya akan berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam masa yang singkat terutama waktu petang dan awal malam.

“Walaupun keadaan itu akan berlaku di negeri Pantai Barat dan di kawasan pedalaman Semenanjung, Barat Sabah serta kawasan di barat dan tengah Sarawak, tetapi masyarakat di negeri pantai timur diminta sentiasa berwaspada.

“Permulaan dan perubahan fasa itu menandakan berakhirnya monsun Timur Laut yang bermula sejak 24 Oktober tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh peralihan monsun itu, beberapa kawasan di rantau negara akan menerima tiupan angin lemah daripada pelbagai hala yang kondusif untuk pembentukan awam ribut petir.

“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang akan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 5:02 PM