AMIRUL Zahari mengelap muka Ahmad Rashid. Turut kelihatan Rosnah dan Ziana.
AMIRUL Zahari mengelap muka Ahmad Rashid. Turut kelihatan Rosnah dan Ziana.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: “Saya mendoakan mereka (penyumbang) dimurahkan rezeki, dikurniakan kesihatan baik dan sentiasa berada dalam rahmat Allah.

“Hanya ini (doa) yang mampu saya lakukan bagi membalas jasa baik mereka yang memberikan sumbangan untuk anak dan cucu,” kata Amirul Zahari Kasim ketika dihubungi, semalam.

Amirul Zahari adalah warga emas berusia 72 tahun yang menjaga dua anak dan seorang cucu orang kurang upaya (OKU) selepas isterinya meninggal dunia, empat tahun lalu.

Dia turut dihimpit masalah kewangan kerana wang bantuan RM600 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor sering tidak mencukupi, biarpun dia bekerja sambilan menjual barangan terpakai bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Kisah sedih empat beranak itu disiarkan dalam akhbar ini pada 30 Mac lalu dan menarik perhatian insan prihatin yang memberikan sumbangan menerusi akaun bank, selain datang ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Kota Damansara, Petaling Jaya.

Dua anaknya, Rosnah, 38, dan Ahmad Rashid, 34, menjadi OKU ketika masing-masing berusia dua serta enam tahun akibat demam panas.

Cucunya, Ziana Abdullah, 15, menjadi OKU ketika berusia enam tahun, juga disebabkan demam panas.

Bapa kepada enam anak itu berkata, setakat semalam, sumbangan diperolehnya mencecah RM4,000 yang akan digunakan untuk membeli keperluan anak dan perubatan Ziana yang menghidap penyakit asma yang selalu menyerangnya tidak mengira masa.

“Selain diperuntukkan untuk simpanan waktu kecemasan, saya bercadang mahu membeli sedikit pakaian baru untuk anak dan cucu yang lama tidak berganti.

“Sebelum ini, saya tidak dapat buat begitu (beli pakaian baru) kerana wang selalu tidak mencukupi dan ada kalanya turut terputus bekalan beras,” katanya.

Menurutnya, kadangkala mereka sekeluarga hanya makan roti kerana ketiadaan wang untuk membeli beras.

“Saya rela ikat perut menahan lapar asalkan anak dan cucu dapat makanan secukupnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 4:44 AM