Idurai (tengah) bersama anak bongsunya menjaga Mohd Aqiudin yang menghidap penyakit sawan sejak berumur 8 bulan di rumahnya.
Idurai (tengah) bersama anak bongsunya menjaga Mohd Aqiudin yang menghidap penyakit sawan sejak berumur 8 bulan di rumahnya.
Siti Nadzirah Che Mud

Kuala Krai: “Ibu bapa mana tidak kesal kerana tidak mampu memberi kediaman selesa kepada anak-anak, malah dua anak perempuan kami terpaksa berhenti sekolah kerana dihimpit kemiskinan,” kata Idurai Ismail, 40.

Idurai bersama suaminya, Nadzri Abdullah, 41, dan tujuh anak mereka berusia dua hingga 20 tahun mendiami rumah usang berdindingkan papan reput dengan sewa RM40 sebulan di Kampung Bendang Kundur, dekat Batu Balai, di sini, sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, dua anaknya, Nor Ziana Nadzri, 18, dan Nor Ziani Nadzri, 20, hanya sempat bersekolah sehingga tahun enam dan tingkatan satu kerana dihimpit kemiskinan.

Manakala lima lagi anaknya, Mohd Hafizi Nadzri, 17, Mohd Safari Akmal Nadzri, 13, Norziati Nadzri, 8, Mohd Aqiuddin Nadzri, 16 yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) akibat menghidap penyakit sawan dan Mohd Alif Asyraf, 2.

“Saya memahami keinginan Nor Ziana dan Nor Ziani menyambung pelajaran namun terhalang kerana kemiskinan, malah terpaksa bekerja membantu keluarga.

“Nor Ziana kini bekerja di kedai makan dengan pendapatan RM25 sehari dan Nor Ziani pula sudah berkahwin, namun masih membantu keluarga dan adik-adiknya,” katanya.

Idurai berkata, Mohd Aquiddin menghidap penyakit sawan sejak berumur lapan bulan akibat demam panas menyebabkan dia memberi lebih perhatian kepada anak keempatnya.

“Mohd Aquiddin terkena penyakit sawan ketika berumur lapan bulan akibat demam panas menyebabkan dia kini tidak ubah seperti bayi yang memerlukan perhatian.

“Saya tidak berani meninggalkannya bersendirian kerana dia tidak mampu bergerak apatah lagi menguruskan diri sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur anaknya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan, sekali gus dapat membeli barang keperluannya seperti lampin pakai buang.

Menurutnya, keluarganya bergantung kepada pendapatan suaminya yang baru setahun bekerja sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di pasar raya dengan pendapatan RM800 sebulan.

“Sebelum ini, suami hanya menoreh getah, namun saya bersyukur ada yang prihatin mencari pekerjaan untuk dia walaupun gajinya cukup-cukup untuk menanggung tiga anak yang bersekolah serta makan minum kami sekeluarga.

“Bagaimanapun, untuk membina rumah baru atau memperbaiki struktur lantai dan dinding masih tidak mampu kerana kos barangan serta upah membaik pulih mahal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 10:36 AM