Siti Rohana Idris

Tumpat: Menjaga lima cucu termasuk seorang yang berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal agak menguji lebih-lebih diri sendiri menghidap angin ahmar.

Dengan pergerakannya yang perlu mengesot kerana lumpuh sebelah kiri tubuh, Rosnah Che Hashim, 68, dari Kampung Berlian di sini, tetap reda dengan nasibnya enam beranak.

Menghuni sebuah rumah kecil hasil sumbangan seorang individu perseorangan di taman perumahan di sini, warga emas itu berkata, lima cucu berusia antara 10 hingga 23 tahun yang dipeliharanya adalah daripada tiga anaknya yang mana sudah meninggal dunia dan enggan dijaga pasangan masing-masing.

"Seorang cucu saya yang OKU ini iaitu Wan Nor Asyikin Azli atau lebih mesra dengan panggilan Ikin berusia 20 tahun adalah anak yatim piatu dan dia cacat sejak lahir.

"Ikin tidak dapat bercakap tapi dia boleh faham apa yang diperkatakan cuma tahap pemikirannya agak perlahan tidak seperti orang normal," katanya ketika ditemui di sini.

Ketika ditemui, Wan Nor Asyikin baharu siap menikmati mi goreng dan sesekali leka menyikat rambut namun tersenyum setiap kali disapa.

Rosnah berkata, dengan keadaannya yang juga sakit, rutin harian mereka hanya bergantung kepada seorang lagi cucu, Nor Aina Syarina Mohd Husmaidin, 15, yang turut menguruskan kerja rumah.

Dia berkata, tiga dari lima cucunya itu masih bersekolah termasuk seorang lagi sedang melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi.

"Kami semua hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima oleh saya sebanyak RM400, manakala Ikin pula RM350 sebulan.

"Elaun Ikin digunakan untuk pembelian lampin pakai buangnya dan untuk perbelanjaan harian lain termasuk membeli ubatan saya dan semua cucu memahami kesusahan hidup," katanya sambil memberitahu tiga anak yang menetap di luar Kelantan ada membantu sedikit-sebanyak namun memahami kerana masing-masing sudah berkeluarga serta bukan orang yang senang.

Terdahulu, Rosnah menerima kunjungan aktivis masyarakat Wan Zahari Wan Othman yang menyampaikan sumbangan zakat, makanan serta lampin pakai buang sambil bertanya khabar warga emas berkenaan.

Bagi yang mahu membantu keluarga itu boleh menghubungi Rosnah di talian 019-4160703.

Aktivis masyarakat, Wan Zahari Wan Othman hadir menyampaikan sumbangan. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Aktivis masyarakat, Wan Zahari Wan Othman hadir menyampaikan sumbangan. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 1:28 PM