GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

PUSAT Konservasi Tapir Kebangsaan yang pertama di negara ini akan diwujudkan di Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan Wan Mat Wan Harun berkata, projek berkenaan yang mendapat persetujuan kerajaan negeri sudah diluluskan kerajaan pusat hujung tahun lalu.

“Rasional pusat ini dibina kerana jabatan belum mempunyai pusat konservasi khusus untuk spesies tapir atau nama saintifik “Tapirus Indicus” bagi melaksanakan program rawatan, rehabilitasi dan pembiakan yang komprehensif, sedangkan bilangan tapir yang diselamatkan meningkat setiap tahun.

“Tapak projek sudah dijamin oleh Kerajaan Negeri Sembilan sejajar dengan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045.

“Kawasan Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi sesuai dijadikan tapak projek ini, penubuhan pusat yang pertama di negara ini akan menggalakkan perkembangan aktiviti kajian dan penyelidikan spesies tapir serta habitat daripada penyelidik tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada Bernama, di sini.

Selain itu, katanya penubuhan pusat ini akan membantu merealisasikan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 yang antara lain bagi mempromosikan pelancongan yang berkonsepkan mesra alam dan mampan.

Wan Mat berkata, usaha konservasi tapir dapat dipertingkatkan dengan meningkatkan penggunaan teknologi dalam pembiakan dan pengurusan.

Katanya, ini secara langsung dapat mengekalkan populasi hidupan liar berkenaan daripada diancam kepupusan.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek itu kini di peringkat kajian awal dan ia dijangka mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan.

“Mengikut perancangan keseluruhan kawasan yang akan dibangunkan ialah 81 hektar yang mana 4.05 hektar adalah kawasan pembangunan infrastruktur bangunan seperti pejabat, klinik, makmal, bilik x-ray, pusat rawatan, kuarantin dan stor.

“Sementara, bakinya 76.95 hektar adalah kurungan intensif berpagar iaitu tempat pelepasan tapir,” katanya sambil menambah di negara ini, tapir jarang diburu untuk dijadikan sumber makanan eksotik.

Katanya, ancaman utama kepada usaha pemeliharaan adalah pemecahan habitat dan perburuan sama ada dengan jerat atau senjata api.

“Berita mengenai tapir dilanggar kenderaan di jalan raya kerap disiarkan di media massa dan ini adalah kesan dari ancaman berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Tapir Malaya atau Badak Cipan, nama saintifiknya Tapirus Indicus mempunyai warna fizikal luar hitam dan putih dikaitkan oleh masyarakat tertentu sebagai simbol keseimbangan dan ketenangan dan hidupan liar ini mendapat perhatian yang baik dari negara seperti Jepun dan China.

Oleh itu, katanya potensi kerjasama dalam bentuk persefahaman antara negara boleh dikembangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 8:28 AM