PAK Din menunjukkan kolam ternakan ketam nipah miliknya di  Kampung Pulau Ketam.
PAK Din menunjukkan kolam ternakan ketam nipah miliknya di Kampung Pulau Ketam.

Kuala Perlis: Meminati spesies ketam nipah sejak usia 16 tahun, warga emas Din Abdullah, 73, dari Kampung Pulau Ketam, di sini, gigih menjalankan penternakan ketam nipah atau ketam batu sejak lebih 15 tahun lalu.

Din atau lebih dikenali sebagai Pak Din dalam kalangan penduduk setempat memulakan usaha itu sejak 2002 atas faktor kesedaran bahawa tiada pengusaha yang sanggup mengambil risiko bagi memulihara spesies rustasia berkenaan.

“Hampir semua pengusaha yang saya jumpa sering bertanya soal keuntungan melalui penternakan ketam nipah ini kerana permintaannya yang begitu tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Menurutnya, sejak mengusahakan penternakan ketam nipah, soal pulangan dan keuntungan adalah perkara kedua, malah kerana minat juga dia sanggup meneruskan penternakan itu meskipun beberapa kali mengalami kerugian sebelum ini.

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pulau Ketam, Din mengakui ramai yang keliru mengenai habitat, tabiat pemakanan dan kawasan yang sesuai memelihara ketam nipah.

“Ketam nipah ini hidup dalam lubang air yang biasa dilihat di tepi sungai malah ia juga mampu bertahan selama beberapa hari dalam lubang tanpa air.

“Penjagaan ketam nipah ini sukar dan kos tinggi diperlukan terutama untuk makanan,” katanya.

Katanya, beberapa pengusaha ketam nipah di sekitar kawasan Kuala Perlis turut menemuinya untuk mengetahui cara penjagaan ketam nipah yang makanan utamanya ikan.

“Menternak ketam nipah ini perlu teliti dari segi penjagaan makanannya agar ia dapat hidup lebih lama.

“Pengalaman saya tabiat pemakanan ketam nipah mudah kerana seekor ikan daripada spesies tenggiri dan tamban boleh dikongsi untuk lima ke enam ekor ketam.

“Ketam nipah ini agak memilih dan hanya makan ikan segar. Jika ikan lama ia berbau dan boleh memberi kesan kepada kualiti air,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pemakanan ketam perlu diukur mengikut kuantiti ketam nipah yang dipelihara.

“Jika ada seribu ekor ketam nipah dalam kolam, kuantiti ikan diperlukan cukup 15 kilogram sehari.

“Melalui anggaran yang tepat atau hampir tepat tidak akan membazirkan ikan yang diberi memandangkan ikan tamban boleh diperoleh dengan harga seekor 20 ke 30 sen seekor,” katanya.

Begitupun, Din menasihati penternak ketam yang baru menceburi industri itu bahawa habitat ketam nipah lazimnya di kawasan paya bakau iaitu air payau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2017 @ 9:31 AM