KETAM nipah yang ditangkap dalam bubu.
KETAM nipah yang ditangkap dalam bubu.

Ketam nipah mendapat permintaan tinggi di pasaran kerana isinya lebih enak berbanding ketam laut. Harganya juga tinggi, namun untuk menangkap atau menangkulnya bukan tugas mudah bagi nelayan.

Menangkap ketam nipah atau nama saintifiknya, Scylla serrata tampak mudah, tetapi sebenarnya sukar kerana ketam ini tinggal di dalam lumpur paya hutan bakau.

Namun bekas tentera, Din Abdullah, 72, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Din sudah mengusahakan ternakan ketam itu sejak tahun 2009 dengan modal permulaan RM30,000.

Katanya, selepas bersara daripada tentera, beliau mengambil keputusan menternak ketam nipah bagi menambah pendapatan keluarga.

Pak Din satu-satunya penternak ketam nipah di Perlis yang mempunyai tiga kolam berukuran 40 meter x 80 meter dan memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Sistem penternakan yang diusahakan Pak Din masih relevan iaitu mengaplikasikan kehidupan ketam dalam kolam dengan kehidupan semula jadi ketam berkenaan.

Buat masa ini, 800 hingga 1,000 ekor benih ketam dapat diternak untuk proses pengemukan sebelum dijual. Sumber benih ketam diperoleh daripada nelayan tempatan.

Beliau berkata, kerja menangkap ketam itu agak sukar dan seseorang perlu mahir mengesan lubuknya bagi menangkapnya.

“Lazimnya ketam ini menghuni lubang di tebing sungai selain tinggal di celah akar pokok bakau di tebingnya.

“Umpan ikan kembung, tamban atau tenggiri diletakkan dalam tangkul menarik perhatian hidupan bersepit itu untuk keluar dari tempat persembunyian.

“Lagi lama tangkul direndamkan, lagi banyak tangkapan diperoleh. Kebiasaannya, saya mampu memperoleh antara empat dan lima kilogram tangkapan sehari yang dijual pada harga RM30 hingga RM40 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program myDOF Media Tour 2016 di Kuala Perlis, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Perlis Norhaida Ishak dan Ketua Cawangan Akuakultur DOF Perlis Bedeli Hassan.

Pak Din yang dibantu cucunya, Azhar Khan Amran Khan, 26, berkata antara cabaran dihadapi pengusaha ternakan ketam nipah ialah apabila hujan tiga hari berturut-turut yang menyebabkan air kolam berubah menjadi tawar.

“Ini kerana ketam ini hidup dalam air payau dan masin. Ia amat sensitif dengan air hujan. Selain itu, disebabkan harganya tinggi ada juga masalah kecurian di kolam.

“Kebanyakan hasil ketam nipah dipasarkan di restoran sekitar Perlis dan Kedah atau dibeli individu. Harganya bergantung pada saiz ketam,” katanya.

Sementara itu, Bedeli berkata, pihaknya memberikan bantuan RM20,000 kepada Pak Din, khususnya benih ketam nipah.

“DOF melalui Pejabat Perikanan Negeri Perlis menyalurkan bantuan benih sebanyak 1,700 ekor dan ketika berlaku fenomena El-Nino baru-baru ini, kami memberi bantuan benih ketam sebanyak 800 ekor.

“Semasa fenomena El-Nino, pembesaran ketam terjejas kerana lambat membesar dan ada yang mati,” katanya.

Menurutnya, projek ternakan ketam nipah berpotensi dimajukan kerana mempunyai permintaan tinggi dan peluang pasaran agak baik.

“Ketam nipah mengandungi khasiat vitamin A,B, C dan B12 serta zink. Selain itu ia dikatakan boleh merawat penyakit demam denggi, leukemia dan barah,” katanya. - Mohamad Hussin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 6:26 AM