KETAM nipah menghasilkan banyak telur hasil kajian dijalankan Institut AKUATROP UMT. FOTO ihsan UMT
KETAM nipah menghasilkan banyak telur hasil kajian dijalankan Institut AKUATROP UMT. FOTO ihsan UMT
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Populasi ketam nipah yang semakin terjejas mendorong Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Institut Akuakultur dan Tropika (AKUATROP) menjalankan kajian berkaitan habitat dan pembenihan hidupan itu.

Selain ketam nipah, AKUATROP juga membuat pelbagai kajian berkaitan pengkulturan, pembiak bakaan, pembenihan udang, ketam, ikan, belangkas dan kuda laut.

Pengarah Institut AKUATROP UMT, Prof Dr Mhd Ikhwanuddin Abdullah berkata, pelbagai inisiatif dijalankan terhadap pembenihan ketam nipah bagi meningkatkan populasi spesis itu di Setiu, Terengganu.

"Program khas itu dijalankan sejak 2014 di tanah lembap Setiu. Pelbagai usaha secara saintifik diperkenalkan bagi mencari solusi terbaik.

"Antara objektif program itu ialah menghasilkan formulasi makanan untuk larva dan induk ketam, meningkatkan kematangan kelenjar reproduksi (gonad) induk ketam dan kualiti serta kadar hidup benih ketam.

"Kita juga mengkaji keberkesanan sistem kandang terhadap jumlah populasi ketam di habitat semula jadi serta mengkaji keberkesanan aktiviti ternakan ketam dalam sistem kandang," katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa terdapat peningkatan populasi ketam di kawasan itu selepas penganjuran program yang membabitkan masyarakat setempat dilaksanakan secara bersama.

"AKUATROP juga berjaya menambah baik teknologi penghasilan benih ketam selain mewujudkan pusat penetasan benih secara semula jadi di kawasan tanah lembap.

"Usaha itu bukan sekadar untuk kegunaan penyelidikan, malah peningkatan populasi ketam turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi komuniti setempat," katanya.

Menurutnya, program yang dijalankan secara bersama itu mencerminkan hubungan antara sebuah gedung ilmu yang memiliki kepelbagaian bidang kepakaran dalam memberikan faedah serta manfaat kepada masyarakat setempat.

"Projek seperti itu menterjemahkan slogan universiti untuk masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 12:22 PM