ORANG ramai melawat galeri Tropicana Alam untuk mendapatkan maklumat lanjut.
ORANG ramai melawat galeri Tropicana Alam untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Muhamaad Razis Ismail


TROPICANA Alam yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat menjadi penanda aras terbaharu projek perumahan di Puncak Alam, Selangor.

Dengan mengekalkan DNA Tropicana dan persekitaran gaya resort, projek perumahan itu berkeluasan 146 hektar itu merangkumi gabungan warisan dan alam semula jadi yang tersendiri.

Keunikan projek perumahan terbaharu Tropicana Corporation Berhad itu adalah lapan ciri utama yang diketengahkan iaitu denai joging, tasik, taman dan komuniti terkawal yang selamat.

Kelebihan lain adalah susun atur yang luas dan praktikal, berdekatan lebuh raya utama, kejiranan dengan kawasan komersial mesra keluarga dan dikelilingi kemudahan moden.

Pengarah Urusan Tropicana Corporation Berhad, Ixora Ang berkata, selama beberapa bulan pihaknya bekerja keras untuk memperkenalkan pelan induk projek perumahan itu sebagai penanda aras baharu di tengah-tengah Puncak Alam.

Katanya, mereka teruja untuk mulakan perbandaran baharu ini yang direka bentuk di tengah-tengah tasik seluas dua hektar (lima ekar) yang tenang dan dikelilingi denai joging tepi tasik sejauh 1.3 kilometer serta taman pusat yang indah seluas 1.8 hektar.

"Ini juga salah satu perbandaran terancang pertama di Puncak Alam dalam persekitaran semula jadi.

"Projek perumahan itu dibayangkan sebagai komuniti muhibah, menggabungkan warisan dan alam semula jadi sambil membawa anda lebih dekat dengan kemudahan moden serta keperluan harian dengan mudah di pintu rumah anda," katanya.

Menurutnya, terletak di tengah-tengah bandar Puncak Alam yang matang, projek perumahan itu menggabungkan alam semula jadi, taman pusat yang indah, tasik tenang dan rumah yang luas dalam persekitaran berpagar.

"Kami memanfaatkan demografi yang semakin berkembang Puncak Alam dan koridor pertumbuhan barat secara keseluruhan.

"Daya tarikan kontemporarinya diperkukuhkan dengan penekanan Tropicana pada konsep dan reka bentuk yang inovatif, ruang terbuka yang luas dan banyak lagi," katanya.

Ixora berkata, fasa pertama projek perumahan itu menawarkan susun atur yang praktikal.

"Unit-unit ini direka bentuk dengan mengambil kira faktor persekitaran dan mengurangkan penggunaan tenaga. Arkitek mereka bentuk bangunan yang menawarkan tingkap besar, pengudaraan yang betul dan pintu masuk yang berkedudukan strategik menghadap ke utara atau selatan.

"Dari segi kemampanan, kami membawa kepakaran dalam perancangan induk untuk projek Tropicana Aman dan Tropicana Heights dengan melaksanakan kerja infrastruktur utama yang lebih lengkap untuk menangani kesan pemanasan global seperti banjir kilat dan peningkatan paras CO2," katanya.

Pada masa sama, oleh kerana lokasi yang sudah matang, pemilik dan penduduk akan mendapat manfaat daripada hab komersial di kawasan sekitar, kemudahan pendidikan, penjagaan kesihatan, rekreasi dan rumah ibadat berdekatan.

"Antaranya adalah pelbagai pasaraya, pusat membeli-belah, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hospital Al-Sultan Abdullah dan Puncak Alam Golf Driving Range.

"Kediaman ini juga terletak di lokasi yang strategik iaitu berhampiran dengan beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash), Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE)," katanya.

Katanya, perbandaran ini pasti akan memartabatkan Puncak Alam sebagai nadi masyarakat seterusnya dapat memberi tambah nilai kepada masyarakat sekeliling.

"Kami berhasrat menjadikan projek perumahan itu menjadi lebih daripada sekadar pembangunan kediaman iaitu sebagai tempat perlindungan di mana impian terbentuk, keluarga membina kenangan dan setiap pemilik rumah menemui kebahagian mereka.

"Matlamat kami bukan hanya untuk menjual rumah, tetapi untuk mengurus pengalaman, menawarkan rumah yang baik dan kehidupan yang sihat," katanya.

Tambahnya, sejak kempen pendaftaran awal dilancarkan, pihaknya merekodkan lebih 2,500 pendaftar berminat dan kira-kira 600 daripada mereka melawat galeri untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelan induk projek perumahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 6:55 AM