MAJLIS Aspresiasi Pelancongan Domestik memberi penghargaan pemain industri pelancongan tempatan.
MAJLIS Aspresiasi Pelancongan Domestik memberi penghargaan pemain industri pelancongan tempatan.
Hafiz Ithnin


TOURISM Malaysia baru-baru ini meraikan penggiat industri pelancongan domestik yang terdiri daripada persatuan dan agensi pelancongan, hotel serta pengusaha produk pelancongan atas usaha berterusan menjayakan kempen promosi Cuti-Cuti Malaysia sepanjang tahun lalu.

Majlis Apresiasi Pelancongan Domestik itu disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Menerusi majlis berkenaan, sebanyak 21 pameran pelancongan domestik yang dianjurkan dengan pembabitan Tourism Malaysia seperti Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2022, MATTA Fair 2022 dan Tourism Malaysia Travel Fair, sekali gus menarik penyertaan sebanyak 394 agensi dan pengusaha produk pelancongan serta penginapan dari seluruh negara dengan jumlah jualan keseluruhan mencecah RM15.2 juta.

Khairul Firdaus berkata, di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (Pakej Rangsangan Ekonomi 2.0), penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia juga diteruskan dalam bentuk penebusan diskaun, baucar dan rebat menerusi kerjasama strategik dengan penggiat industri membabitkan lima kluster iaitu kluster pengangkutan darat, kluster pengangkutan udara, kluster persatuan pelancongan, kluster penginapan dan kluster pelancongan minat khas.

"Inisiatif ini memanfaatkan 248,450 pengguna dalam kalangan rakyat Malaysia dengan nilai penebusan keseluruhan berjumlah RM10.9 juta manakala hasil jualan yang direkodkan adalah RM40.67 juta," katanya.

Antara rakan penggiat industri yang terbabit termasuk syarikat penerbangan (Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MASwings), perkhidmatan pengangkutan darat seperti KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta persatuan pelancongan terdiri daripada Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (Mita), Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (Mica), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (Mitta) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra).

Selain itu, Tourism Malaysia turut bekerjasama dengan Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa), Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA), Persatuan Kampungstay & Homestay Malaysia (MKHA) serta beberapa persatuan penginapan seperti Persatuan Hotel Malaysia (Mah), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) serta rangkaian Hotel Seri Malaysia. Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi juga turut menjayakan program seminar dan International Tourist Guide Day Eco Walk di Zero Km Kuah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 6:30 AM