AIRIN (tengah) bersama Zefny (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU, semalam.
AIRIN (tengah) bersama Zefny (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU, semalam.
Mahaizura Abd Malik


Petaling Jaya: Mulai 1 April depan, pelanggan portal video streaming milik Media Prima Berhad, tonton berpeluang menerokai khazanah tersembunyi dan menarik di rantau Asia Tenggara melalui pelbagai program berbentuk pengembaraan terbitan GOASEAN.

Ini bermakna dengan pelan langganan bermula daripada RM3 untuk tempoh sehari, RM5 (seminggu), RM10 (sebulan) dan RM96 (setahun) orang ramai boleh menonton lebih 15 saluran siaran khas yang menyiarkan keindahan lokasi pelancongan, kebudayaan dan warisan yang ada di 10 negara termasuk Malaysia menggunakan peranti mudah alih masing-masing.

Pengarah tonton & Pelesenan dan Pembarangan Airin Zainul berkata, pelanggan tonton boleh menerokai lebih banyak destinasi menarik di Asia Tenggara melalui platform kerjasama baru yang dimeterai bersama pengeluar kandungan kreatif GOASEAN, semalam.

“Menyedari ramai yang suka melancong dan mengembara, kami teruja dapat menyediakan satu platform untuk penonton mendapatkan siaran hebat menerusi penyediaan kandungan kreatif daripada GOASEAN.

“Dengan adanya GOASEAN di tonton, orang ramai boleh menonton lebih banyak tempat dan aktiviti kebudayaan di rantau Asia Tenggara dengan hanya menggunakan peranti mudah alih mereka dan boleh dijadikan panduan untuk melakukan penjelajahan ke tempat menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Naib Presiden Penjenamaan GOASEAN Zefny Idris, di sini, semalam.

Menurut Airin, pihaknya berharap kerjasama itu akan terus memacu perkembangan tonton sebagai portal dan aplikasi penstriman video nombor satu di Malaysia dengan lebih 6.6 juta pengguna berdaftar membabitkan pertumbuhan 18,000 ahli setiap minggu.

“Dengan kerjasama ini kita menjangkakan peningkatan dua digit peratusan pertumbuhan tonton pada tahun ini.

“Pada suku kedua tahun ini, kita juga merancang melancarkan dua lagi kerjasama dengan beberapa penyedia kandungan kreatif lain,” katanya.

Sementara itu, Zefny pula menyifatkan kerjasama berkenaan adalah kolaborasi yang bermakna untuk GOASEAN sempena ulang tahun kedua mereka pada Jun depan serta langkah pihaknya memasuki ruang Over the Top (OTT) bertujuan mengembangkan capaiannya untuk menarik lebih ramai penonton.

“Ini adalah platform terbaik untuk kami berkongsi pengembaraan dengan orang ramai melalui program yang kami hasilkan memandangkan video OTT kini sememangnya berkembang pesat.

“Kami akan meneruskan usaha untuk menghasilkan kandungan yang berkualiti tinggi bagi mempromosikan Asia Tenggara dan berharap dengan kerjasama ini ramai yang menjadikan Asia Tenggara sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 5:09 AM