PELAKON utama drama bersiri Sorry Naik Lori (dari kiri), Nafiz Muaz, Ruhainies dan Nazim.
PELAKON utama drama bersiri Sorry Naik Lori (dari kiri), Nafiz Muaz, Ruhainies dan Nazim.
Ramlah Zainal


Drama original tempatan kedua iQIYI, Sorry Naik Lori yang diterajui Nazim Othman, Ruhainies dan Tajul menamatkan musim siarannya dengan mengungguli carta sebagai drama Melayu nombor satu yang dihasilkan pada suku terakhir 2022 di platform penstriman berkenaan.

Drama ini menyusuli kejayaan kandungan original pertamanya, Rampas Cintaku, sekali gus menunjukkan minat kukuh membabitkan kualiti produksi original tempatan dalam kalangan penonton.

Pengurus Negara iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam berkata, walaupun kadar penggunaan platform penstriman digital (OTT) di Malaysia lazimnya didominasi kandungan Bahasa Inggeris dan Korea, namun iQIYI menyaksikan permintaan dan kehendak yang semakin meningkat untuk kandungan tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, tinjauan 'iQIYI 2022 Year in Binge' mendapati sebanyak 50 peratus responden dari Malaysia aktif mencari kandungan Melayu tempatan di platform terbabit tahun ini.

Mengulas kejayaan Sorry Naik Lori, Dinesh berkata, pihaknya sangat teruja kerana drama komedi romantik itu menerima maklum balas memberangsangkan sama seperti kandungan pertama yang dilancarkan beberapa bulan sebelum ini.

"Ia menampilkan jalan cerita yang sangat relevan dengan gaya hidup moden rakyat Malaysia hari ini iaitu komuniti yang terbabit secara aktif di media sosial," katanya.

Dinesh berkata, siri itu turut membawakan perkhidmatan penghantaran yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita dengan lebih dekat.

"Ia menunjukkan minat yang tinggi pada kandungan tempatan yang diberikan kelainan dari segi cara penyampaiannya. Tinjauan sama juga mendapati minat dan selera yang tinggi pada kandungan Melayu tempatan dalam kalangan penonton antarabangsa.

"Malah, dua produksi original tempatan pertama platform iQIYI, Rampas Cintaku dan Sorry Naik Lori dipilih untuk mengungguli carta tiga teratas drama Melayu wajib tonton oleh responden dari Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Amerika Syarikat," katanya.

Bercerita mengenai strategi penyusunan kandungan iQIYI, Dinesh berkata, orang ramai secara semula jadi ingin mengetahui budaya dan tertarik dengan cerita dari seluruh dunia.

"Fokus kami adalah untuk lebih berani membawa jalan cerita unik yang mewakili intipati komuniti tempatan serta mewujudkan ekosistem kandungan tempatan yang kukuh bagi menawarkan karya yang terbaik dari Malaysia," katanya.

Selaras dengan komitmennya untuk menjadi hab hiburan Asia yang digemari, iQIYI melihat ke arah perubahan inovatif dalam membentuk model perniagaan mampan yang unik untuk ekosistem kandungan Asia, seterusnya mempamerkan yang terbaik dari Malaysia dan Asia Tenggara kepada khalayak yang lebih luas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 6:30 AM