Kuala Lumpur: Malaysia menubuhkan saluran pengembaraan pertama di dunia yang memberi tumpuan kepada Asean dikenali sebagai GOASEAN.

Pengumuman mengenai GOASEAN dibuat awal bulan ini di ITB Berlin 2015 (Internationale Tourismus-Börse Berlin), pameran perdagangan pelancongan terbesar dunia.

GOASEAN Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, saluran itu bertujuan menonjolkan kepelbagaian tarikan semula jadi dan budaya kepada pencari liburan serta pelabur pelancongan.

ASEAN akan mempunyai gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$3 trilion menjelang 2017 dengan pasaran pengguna 650 juta menjelang 2020.

Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Dr Ong Hong Peng berkata, ketibaan pelancong ke Asean berkembang pesat daripada 65 juta pada 2009 kepada 98 juta pada 2013.

“Negara Asean menawarkan kepelbagaian warisan kebudayaan dan ia sepatutnya dikongsi dengan pelancong. Dengan peningkatan integrasi ekonomi serantau, Asean menjadi kawasan yang cergas dan mempunyai peluang yang semakin bertambah,” katanya.

Menurutnya, GOASEAN akan menjadi platform yang ideal kepada semua penggiat industri pelancongan untuk mempamerkan tawaran unik mereka.

“Ia akan membantu merangsang pertumbuhan industri pelancongan rantau ini, meningkatkan sikap saling menghormati dan menghargai budaya dan warisan satu sama lain.

“Di samping itu, ia akan menyatukan penduduk sejajar dengan wawasan Perdana Menteri Malaysia untuk mewujudkan Asean yang mengutamakan penduduk,” tambahnya.

Saluran berkenaan akan bersiaran 24 jam sehari sepanjang tahun melalui pelbagai platform, terutama IPTV, peranti mudah alih, DTH dan platform digital.

Kandungannya akan memberi tumpuan kepada 10 segmen pelancongan, iaitu beli-belah, pelancongan sukan dan muzik, pelancongan festival dan makanan serta kesihatan dan perniagaan pelancongan alam semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:16 AM