PELANCARAN Tonton di Brunei. FOTO Sudirman Mohd Tahir
PELANCARAN Tonton di Brunei. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir


PORTAL dan aplikasi penstriman video nombor satu dan terbesar di Malaysia, Tonton kini melebarkan sayap ke negara Brunei Darussalam, malam tadi.

Kerjasama itu membabitkan Tonton dengan syarikat telekomunikasi gergasi di Brunei iaitu DST yang menawarkan akses eksklusif siaran langsung dan drama terkini enam bulan sebelum siaran TV.

Pengarah Tonton, Perlesenan dan Pembarangan Rangkaian Televisyen Media Prima, Airin Zainul, berkata pemilihan Brunei kerana sesuai dengan sasaran.

“Memandangkan Malaysia dan Brunei serumpun, banyak persamaan dua negara ini. Tambahan pula kandungan Tonton sedia ada juga sesuai untuk penonton Brunei.

“Saya berasakan ini waktu sesuai untuk kami melebarkan sayap di Brunei.

“Sekali gus dapat meningkatkan lagi jumlah langganan. Saya juga yakin jumlah ini terus meningkat selepas Tonton dilancarkan di Singapura dan Brunei," katanya.

Menurut Airin, kandungan program yang bakal ditayangkan di Brunei serentak dengan Malaysia.

Pada masa sama, Airin memaklumkan pihaknya dalam perancangan untuk melancarkan Tonton di negara Asia Tenggara lain membabitkan program berbahasa Cina pula.

Turut hadir pada acara pelancaran itu adalah Ratu Tonton, Datuk Seri Vida dan wajah Tonton iaitu pelakon Ayda Jebat dan Redza Rosli.

Pelancaran ini juga bersempena ulang tahun ke-18 perkhidmatan Easi DST yang diadakan di Amphitheater, Jerudong Park.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 12:49 AM