myMetro

Kuala Lumpur: Orang ramai mula mengunjungi pejabat cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP), bagi tahun taksiran 2016, walaupun baru seminggu sistem e-Filing dibuka.

Tinjauan Harian Metro di sini semalam mendapati, sebahagian pembayar cukai lebih gemar mengunjungi pejabat cawangan LHDN mengemukakan BNCP bagi mengelak melakukan kesalahan terutama ketika mengisi borang secara dalam talian.

Pesara tentera udara, Edward Ng Gek Siew, 59, berkata, beliau memilih melakukan urusan LHDN lebih awal walaupun mempunyai tempoh dua bulan untuk berbuat demikian.

“Memandangkan tiada kemudahan komputer dan Internet di rumah, saya ambil keputusan datang ke pejabat cawangan LHDN bagi menghantar borang BNCP,” katanya.

Bagi pensyarah di sebuah universiti awam, Prof Yusof Ibrahim, 68, ini kali pertama beliau melakukan urusan e-Filing di pejabat cawangan LHDN selepas mengalami masalah Internet di rumah.

“Sebelum ini, saya hanya isi borang BNCP di rumah. Bagaimanapun, disebabkan terlupa kata laluan selain masalah Internet di rumah, saya terus berkunjung ke pejabat cawangan LHDN.

“Ia juga lebih mudah apatah lagi beberapa kakitangan LHDN yang sentiasa membantu sepanjang saya berurusan di sini,” katanya.

Pekerja swasta, Mohamad Zaidi Abdul Samad, 37, berkata, dia hanya memerlukan 30 minit sebelum semua urusan pengisian borang e-Filing selesai.

“Sekurang-kurangnya, saya boleh bertanya secara langsung kepada pegawai LHDN yang bertugas sekiranya ada perkara yang kurang difahami.

“Cara ini lebih mudah berbanding membuatnya di rumah. Tambahan pula, e-Filing dilakukan setahun sekali, sudah tentu banyak perkara tidak dapat diingati termasuk kata laluan dan sebagainya,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 9:53 AM
Mohamad Zaidi Abdul Samad
Mohamad Zaidi Abdul Samad
Prof Yusof Ibrahim
Prof Yusof Ibrahim
Edward Ng Gek Siew
Edward Ng Gek Siew