PELANGGAN memilih kain yang dijual  pada harga menarik.
PELANGGAN memilih kain yang dijual pada harga menarik.

Tangkak: Harga berpatutan dan pilihan yang pelbagai menjadi tarikan kepada pelanggan untuk terus setia membeli-belah di Tangkak.

Malah, mereka tetap menganggap Tangkak sebagai Bandar Tekstil meskipun industri berkenaan semakin suram.

Pesara swasta, Sariah Jonid, 60, berkata, dia gemar membeli-belah di sini kerana lebih berkeyakinan dengan kualiti kain pakaian dan langsir yang dijual peniaga.

“Walaupun harganya berpatutan, tetapi ia setanding dengan kualiti kain dijual.

“Saya pernah membuat perbandingan harga antara kain yang dijual di Tangkak dengan tempat lain, ternyata pembelian di sini (Tangkak) lebih berbaloi,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia sudah membeli-belah di Tangkak sejak 20 tahun lalu dan mengenali hampir semua peniaga di situ membolehkan dia mendapatkan harga yang berpatutan apabila melakukan tawar-menawar.

“Suasana lengang mungkin menggusarkan peniaga kerana mereka sukar mendapat keuntungan tetapi berbeza kepada pelanggan kerana mereka boleh membeli-belah dalam keadaan tenang.

“Biasanya saya memilih hari bekerja untuk membeli-belah kain bagi mengelakkan kesesakan dalam kedai pada cuti hujung minggu,” katanya.

Bagi penuntut institusi pengajian tinggi awam, Fatin Zahidah Roslan, 19, dia mengenali Bandar Tekstil Tangkak kerana sering mengikuti ibunya membeli kain di sini sejak kecil.

“Sejak itu, Tangkak menjadi pilihan utama saya untuk membeli kain ela.

“Saya yakin dengan kualiti kain di sini dan turut mengesyorkan kepada rakan-rakan dari negeri lain untuk berbelanja di sini, sekali gus membantu mempromosikan Bandar Tekstil Tangkak,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, Ezhar Abu berkata, pihaknya dalam perancangan untuk menjenamakan semula Bandar Tekstil berdasarkan Draf Rancangan Tempatan Daerah Tangkak 2030.

“Tiga rancangan dirangka untuk tujuan itu dengan anggaran membabitkan kos RM8.5 juta.

“Rancangan itu ialah mewujudkan Tekstil Walk di Pusat Bandar Tangkak, Pusat Jualan Tekstil (Factory Outlet) dan Memperkukuhkan Peranan dan Fungsi Pusat Bandar Tangkak sebagai destinasi pelancongan perniagaan,” katanya.

Katanya, usaha itu untuk menghidupkan semula Bandar Tangkak yang sebelum ini cukup terkenal di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 6:41 AM