PENGUNJUNG memilih pelbagai pakaian di Pasar  Borong Pekan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
PENGUNJUNG memilih pelbagai pakaian di Pasar Borong Pekan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Mohd Rafi Mamat

Pekan: Pasar Borong Pekan di Jalan Mahkota di sini, menjadi tarikan pengunjung membeli-belah sempena Aidilfitri kerana menawarkan harga murah sehingga 50 peratus.

Pasar beroperasi bermula jam 7 pagi sehingga 2 petang setiap Sabtu itu diusahakan 60 peniaga yang menjual pelbagai barangan seperti tudung, kain pasang, baju, seluar serta perhiasan wanita secara borong dan runcit.

Pengunjung, Rahimi Hasim berkata, harga berpatutan selain rekaan terkini terutama pakaian wanita dan kain tudung menjadi kelebihan buat Pasar Borong Pekan berbanding premis lain di daerah ini.

Katanya, jubah wanita dan pelbagai jenis tudung pelbagai jenama terkenal yang dijual di pasar raya boleh didapati di Pasar Borong Pekan dengan harga jauh lebih murah.

“Untuk mendapatkan baju dan pelbagai jenis kain tudung rekaan terkini saya pasti datang ke Pasar Borong Pekan, harganya jauh lebih murah berbanding dijual di pasar raya.

“Kualitinya juga memuaskan, tanpa perlu mengeluarkan belanja besar dan membebankan, kita masih mampu memiliki barangan seperti diinginkan.

“Tidak hairanlah jumlah pengunjung ke pasar borong ini meningkat sehingga empat kali ganda pada musim perayaan seperti Aidilfitri,” katanya ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 9:55 AM