NAJIB meninjau gerai ikan ketika melawat  pasar malam Sri Serdang, semalam.
NAJIB meninjau gerai ikan ketika melawat pasar malam Sri Serdang, semalam.

Serdang: Orang ramai yang bersesak-sesak dan sibuk membeli-belah di pasar malam Sri Serdang, di sini, dikejutkan dengan kehadiran Datuk Seri Najib Razak, petang semalam.

Perdana Menteri yang melakukan tinjauan harga barangan basah ke kawasan tumpuan penduduk sekitar pada setiap Isnin dan Jumaat itu mendapati, peniaga tidak meletakkan harga tinggi kepada pelanggan.

Sebaliknya, kata beliau melalui status Facebook peribadinya, para peniaga mengenakan harga berpatutan untuk barangan yang dijual.

“Di pasar malam Sri Serdang tadi, untuk meninjau jualan barangan basah seperti sayuran-sayuran segar dan ikan.

“Alhamdulillah, saya lihat peniaga mengenakan harga berpatutan untuk barangan yang dijual, seiring nasihat kerajaan untuk bersikap adil kepada pengguna dengan harga minyak yang kini telah turun serta musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya.

Di akaun Twitter, Najib memberitahu beliau sempat berbual dengan peniaga dan orang ramai di pasar malam berkenaan.

Beliau turut bersalaman dengan orang ramai serta bertanya berkaitan harga barangan di tapak perniagaan terbabit.

Beliau yang meluangkan masa hampir 30 minit di tapak pasar malam itu sempat singgah minum bersama penduduk di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:26 AM