Cawangan pertama Jakel di Segamat, Johor.
Cawangan pertama Jakel di Segamat, Johor.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Jenama Jakel yang cukup sinonim dengan perniagaan fabrik dimulakan pada 1983 di Muar, Johor dikenali dengan nama Jakel Trading serta diasaskan Mohamed Jakel Ahmad.

Ketika awal operasi, Jakel bermula dengan hanya dua kakitangan dan memulakan perniagaan sebagai pembekal fabrik yang berurusan dengan peniaga kecil di kawasan mereka.

Mengorak langkah pertama, Jakel membuka cawangan di Segamat pada 1985 diikuti dengan tambahan modal serta menukar perniagaan sebagai peruncit.

Pada 1997, Jakel mengambil langkah berani dengan mengimport terus fabrik daripada pembekal yang membolehkan syarikat menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan.

Dengan matlamat Satu Cawangan, Satu Negeri, Jakel membuka 20 cawangan di seluruh Malaysia.

Penggunaan nama Jakel terus dikekalkan sempena pengasas perniagaan berkenaan, malah pelanggan sinonim dengan nama berkenaan bersesuaian dengan moto Ingat Kain, Ingat Jakel yang digunakan sejak awal lagi.

Sebagai peneraju utama tekstil tanah air, kewujudan Jakel Mall menunjukkan Jakel mengalami perubahan dan perbezaan besar berbanding ketika awal ia mula beroperasi.

Pada hari ini, boleh dilihat Jakel menjadi ‘trendsetter’ sentiasa ke hadapan dengan mengeluarkan rekaan kain yang baru dan eksklusif.

Bagi memastikan setiap keluaran kain terbaik, Jakel mempunyai pereka sendiri yang akan memasukkan corak dan warna untuk disuai padan dengan kehendak pelanggan.

Jakel menggunakan pendekatan berbeza dan mengamalkan konsep ‘Satu Jurujual, Satu Pelanggan’ bagi memberikan pelanggan pengalaman membeli-belah secara individu yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 7:06 AM