Caption<NIK Ros Azhan (kanan) bersama anggotanya memeriksa botol arak di sebuah premis di Bukit Mertajam, hari ini. FOTO Shamsul Munir Safini
Caption<NIK Ros Azhan (kanan) bersama anggotanya memeriksa botol arak di sebuah premis di Bukit Mertajam, hari ini. FOTO Shamsul Munir Safini
Shamsul Munir Safini


POLIS merampas ribuan botol arak bernilai hampir RM100,000 dalam serbuan di sebuah premis menjual minuman keras di Pekan Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam serbuan jam 4 petang itu, siasatan awal polis mendapati arak berkenaan dijual di premis tanpa lesen dan tanpa kebenaran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak lebih enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, operasi itu dilakukan berdasarkan risikan polis hasil maklumat orang ramai.

“Ada di antara arak yang dijual di premis itu diragui ketulenannya dan tidak dinyatakan kilang atau pengeluarnya.

“Sebahagian daripada arak itu juga mempunyai kadar alkohol sehingga 60 peratus dan terdiri daripada pelbagai jenama,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 30-an dipercayai penjaga premis ditahan bagi tindakan susulan.

“Pemilik premis itu juga didapati menggaji empat pekerja asing terdiri daripada tiga warga Nepal dan seorang warga India.

“Kesemua mereka ditahan dan akan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, premis itu juga mempunyai cawangan di kawasan berdekatan dan dipercayai tidak mempunyai kebenaran menjual daripada pihak berkuasa.

Katanya, kesemua botol arak yang dirampas itu juga tidak mempunyai kebenaran import daripada kastam selain tiada lesen perniagaan daripada pihak berwajib.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam kerana memiliki baranga larangan import, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 7:02 PM