`
`
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Empat lelaki warga asing dan seorang rakyat tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberi rasuah kepada penjawat awam.

Md Rintu Molla, 32, yang juga warga Bangladesh mengaku bersalah memberi suapan RM200 kepada anggota polis, Lans Koperal Ainuddin Aliff Samsudin sebagai dorongan supaya melepaskan motosikal Honda yang ditahan di Balai Polis Plentong, Jalan Bunga Matahari, Masai di sini, kira-kira 12.40 tengah hari, 13 Disember 2016.

Dalam kes berasingan, rakyat tempatan, T Ganasan, 35, pula didakwa bersama seorang lelaki warga Nepal, 38, memberi suapan RM3,000 kepada Penolong Penguasa Kastam, Nurul Izzaty Muhammad sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh yang disyaki menjual arak tanpa lesen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 23-5, Jalan Soga dekat Batu Pahat, kira-kira 7.30 malam, 15 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dua lagi warga Nepal masing-masing berusia 30 dan 28 tahun, serta tertuduh yang didakwa bersama Ganasan, tidak memahami Bahasa Malaysia dan mahkamah menetapkan 1 Mac ini untuk sebutan semula bagi memanggil jurubahasa.

Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Sabbaton Daud turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula bagi menjatuhkan hukuman terhadap Md Rintu dan Ganasan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan dan semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 1:20 PM