Sebahagian anggota Rela pada majlis bersama Rela, semalam.
Sebahagian anggota Rela pada majlis bersama Rela, semalam.

Lundu: Rakyat di negara ini terutama yang beragama Islam diseru memahami konsep taat kepada pemerintah sebagai kunci kepada perpaduan dan penyatuan ummah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketaatan kepada pemimpin itu harus diterjemahkan rakyat di negara ini dengan menolak hasutan pihak tertentu yang mahu memecahkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, rakyat bukan beragama Islam juga diajak untuk terus bersama menyokong kepemimpinan dan pentadbiran negara yang ketika ini dihujani pelbagai tuduhan dan fitnah yang tidak berasas.

“Saya harus mengambil kepedulian ini, bukan saja kepada orang Islam, tetapi masyarakat Kristian, Buddha dan Hindu. Ia juga bukan hanya kepada orang Melayu, bahkan untuk orang Bidayuh, Iban, Cina dan India (serta kaum lain di Malaysia).

“Ini soal kepelbagaian. Ia adalah satu kekuatan kepada negara yang harus diperkukuhkan, kekuatan ini harus dijaga oleh kita melalui ketaatan kepada pemimpin,” katanya pada Majlis Pemimpin bersama RELA Daerah Lundu, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Ahmad Zahid berkata, rakyat juga diingatkan supaya menolak dakyah dari dalam dan luar negara yang cuba menjadikan rakyat di negara ini berpuak-puak dan berpecah belah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 9:39 AM