FOTO Rizanizam Abdul Hamid
FOTO Rizanizam Abdul Hamid
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Ribuan peserta perhimpunan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) di Padang Merbok di sini sanggup bermandikan hujan dan tidak berganjak dari padang untuk terus menyatakan sokongan terhadap pindaan RUU 355.

Hujan bermula dengan renyai-renyai ketika rakaat pertama solat Maghrib di tengah-tengah padang sebelum semakin lebat sehingga tamat solat.

Setakat jam 7.55 malam, semua peserta perhimpunan masih tidak berganjak dari padang dan terus mendengar ucapan yang akan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kemuncak acara adalah pada jam 11 malam ini yang akan menyaksikan ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Antara pemimpin yang dijadual menyampaikan ucapanTimbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan serta Ketua Dewan Ulama PAS pusat, Datuk Dr Mahfudz Mohamad.

Perhimpunan bertemakan 'Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera' ini diadakan sebagai usaha menyokong pindaan RUU 355 yang dibentangkan Abdul Hadi di Dewan Rakyat pada 24 November tahun lalu dan akan dibaca buat kali kedua di Parlimen, Mac depan.

Beliau membentangkan usul persendirian itu untuk kali pertama pada 26 Mei lalu yang antara lain bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu mahkamah syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut Islam dalam hal kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 8:37 PM