Lawrence  (kanan) menunjukkan lubang di hadapan rumah penduduk.
Lawrence (kanan) menunjukkan lubang di hadapan rumah penduduk.
Asrizal Aris


Puchong: “Sudah hampir dua bulan kereta saya ‘terperangkap’ disebabkan lubang di depan rumah,” kata Lok Yoke Bun, 77, penduduk Taman Puchong Jaya apabila tebing jalan di hadapan pintu pagar rumahnya berlubang.

Lebih memburukkan keadaan, lubang sedalam setengah meter itu mengeluarkan bau busuk berpunca dari longkang yang tersumbat dengan air sampah menyebabkan Yoke Bun bersama lima ahli keluarganya tidak selesa.

Yoke Bun berkata, lubang berkenaan pada mulanya kecil tetapi menjadi retak beberapa hari kemudian dan berlaku mendapan menyebabkan lubang itu menjadi besar sehingga menyebabkan keretanya tidak dapat dikeluarkan.

“Jika kereta saya melalui laluan ini, pasti lubang akan menjadi lebih besar dan kereta saya akan tersangkut. Sekarang anak saya terpaksa meminjam kereta syarikat untuk keluar bekerja.

“Jalan di taman perumahan ini tidak diturap dengan baik menyebabkan banyak lubang dan longkang juga tersumbat sehingga ada rumah jiran yang dimasuki air apabila hujan lebat,” katanya ketika ditemui di Jalan Merpati, Taman Puchong Jaya, semalam.

Menurutnya, dia akan mengutip batu bata di tepi jalan untuk menimbus lubang berkenaan supaya dapat mengeluarkan kereta di samping mengelakkan daripada kejadian lebih buruk.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 7, Datuk Inder Singh Beant Singh berkata, kerja penurapan dan pembaikan jalan yang dilakukan di taman berkenaan pada pertengahan Disember lalu bagaikan ‘kerja separuh jalan’.

Katanya, banyak lagi lubang yang belum ditutup dan masalah itu akan diajukan terus kepada pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berwajib serta Ahli Majlis kawasan yang bertanggungjawab.

“Sekiranya tiada sebarang tindakan, kami tiada pilihan untuk terus serbu pejabat Yang Dipertua PBT untuk selesaikan masalah ini kerana ia sudah berlaku lama dan sudah banyak aduan dibuat.

“Namun, kami harap ia tidak berlaku seperti itu dan mengharapkan perkara ini diselesaikan segera oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ),” katanya ketika membuat tinjauan kerosakan jalan di taman perumahan itu bersama Pengerusi JPP Zon 14, Lawrence Chiew, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 11:06 AM