BANJIR kilat menenggelami  jalan raya berhampiran Desa Pinggiran Putra. Gambar kecil, Muhammad Najmi - FOTO SAMADI AHMAD
BANJIR kilat menenggelami jalan raya berhampiran Desa Pinggiran Putra. Gambar kecil, Muhammad Najmi - FOTO SAMADI AHMAD
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Hujan lebat pastinya menjadi igauan ngeri bagi pengguna di beberapa laluan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Apa tidaknya, setiap kali hujan lebat, laluan itu akan dilanda banjir kilat sekali gus menyebabkan banyak kenderaan terkandas.

Antara kawasan yang sering terjejas dinaiki air adalah terowong Presint 9, Presint 5 dan Lebuh Wadi Ehsan di Desa Pinggiran Putra menghala ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dekat sini.

Pekerja swasta, Muhammad Najmi Zulkifli, 26, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menambah baik dan sentiasa memantau penyelenggaraan sistem lubang saliran di bahagian kiri dan kanan jalan bagi mengelak kejadian banjir kilat berulang setiap kali hujan lebat.

Dia yang tinggal di Presint 6 di sini, dan sering berhadapan masalah sama berpandangan isu banjir kilat tidak akan selesai selagi masalah lubang saliran tersumbat tidak diatasi.

"Berdasarkan pemerhatian, pekerja kontraktor pembersih jalan hanya mengutip sampah di atas jalan namun tidak pernah nampak mereka membersihkan lubang saliran.

"Biasanya lubang saliran tersumbat disebabkan dipenuhi pasir serta sampah sarap seperti daun dan plastik bungkusan minuman," katanya.

Sementara, kakitangan kerajaan, Nor Hani Ismail, 43, dari Desa Pinggiran Putra berkata, masalah banjir kilat di atas jalan raya bukan perkara baharu malah sudah berlarutan sejak beberapa tahun.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat jalan raya utama berhampiran Desa Pinggiran Putra, dekat sini sering dinaiki air seperti 'kolam renang' sehingga tidak boleh dilalui kenderaan.

"Kejadian terbaru berlaku Februari lalu yang menyebabkan banyak kenderaan terkandas memandangkan air naik tinggi dan dalam tempoh lama.

"Pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan penyelenggaraan dan pembersihan longkang dapat dilakukan berkala supaya banjir kilat tidak berulang," katanya.

Ikuti penjelasan Perbadanan Putrajaya (PPj) berhubung isu ini dalam Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 7:01 AM