PENUTUP longkang mengundang bahaya kepada kanak-kanak. FOTO  Rosman Shamsudin
PENUTUP longkang mengundang bahaya kepada kanak-kanak. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


TINDAKAN pencuri penutup longkang di kawasan pejalan kaki berhadapan bangunan perniagaan di Slim River menyebabkan orang ramai terutama kanak-kanak kini terdedah kepada bahaya.

Kira-kira empat penutup longkang lesap di laluan pejalan kaki menyebabkan laluan itu terdedah menjadi sebuah lubang atau perangkap jika orang ramai tidak berhati-hati melalui jalan itu.

Difahamkan, walaupun sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.

Penduduk, Md Yusof Ahmad, 48, berkata ketiadaan besi penutup longkang di kawasan laluan pejalan kaki itu menyebabkan orang ramai terdedah dengan bahaya.

Menurutnya, PBT harus mengambil tindakan segera dan jangan tunggu apabila berlaku kemalangan atau kecederaan kepada orang ramai barulah mahu mengambil tindakan.

“Saya hairan mengapa pihak PBT mengambil masa yang lama untuk menutup kembali lubang terbabit walaupun mereka sedar tentang bahaya yang bakal akan berlaku.

“Setiap kali saya melihat orang ramai melalui laluan pejalan kaki itu terutama kanak-kanak , saya menjadi bimbang dan takut jika mereka terjatuh ke dalam lubang longkang terbabit," katanya ketika ditemui.

Tinjauan di kawasan itu mendapati satu daripada empat lubang yang tidak mempunyai penutup longkang sudah ditutup dengan kayu yang sudah reput bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Malah, tiang lampu yang patah berdekatan lubang itu juga terbiar tanpa diselenggara dan boleh mengancam keselamatan terutama kanak-kanak.

Sementara itu, peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Yap berkata, jika tidak diambil tindakan segera, dia bimbang akan ada orang ramai akan menjadi mangsa terjatuh ke dalam lubang itu.

Katanya, paling bimbang, apabila melihat kanak-kanak berjalan di laluan itu kerana mereka suka berlari atau bermain di kawasan itu.

“Ketiadaan penutup longkang itu juga menjejaskan imej pekan di mata orang ramai terutama pengunjung dari luar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 9:13 AM