Mohamed Khaled  (dua dari kiri) meninjau  pameran selepas melancarkan PBT Pengerang di Kota Tinggi, semalam.
Mohamed Khaled (dua dari kiri) meninjau pameran selepas melancarkan PBT Pengerang di Kota Tinggi, semalam.
Mohd Sabran


Kota Tinggi: Kerajaan Johor kini memiliki pihak berkuasa tempatan (PBT) ke-16 apabila PBT Pengerang di Bandar Penawar di sini, secara rasminya beroperasi, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri menyerahkan penubuhan PBT Pengerang kepada Johor Corporation (JCorp) yang diumumkan ketika pembentangan Bajet Johor 2016 lalu.

“Pemilihan JCorp ini berdasarkan pengalamannya selama 32 tahun menerajui serta menjaga kawasan Pasir Gudang iaitu ketika ia mula dibuka untuk kawasan industri dan pelabuhan bermula 1977 sehingga 2009.

“Berdasarkan pencapaian dan kecekapan JCorp, maka kita yakin ini keputusan paling sesuai dan kena pada masanya,” katanya ketika melancarkan PBT Pengerang di Bandar Penawar di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga merangkap Ahli Parlimen Pengerang, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Abd Latif Bandi, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Azmi Rohani serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri yakin tadbir urus PBT Pengerang yang berteraskan budaya korporat sangat penting.

“Lebih-lebih lagi Pengerang memerlukan kedatangan lebih banyak firma tempatan dan antarabangsa untuk melabur dalam kawasan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang dijangka mulai beroperasi pada 2019.

“Malah, dalam kawasan Pengerang Industrial Park (PIP) ini yang dibangunkan Johor Corporation, kita menjangkakan pembinaan 266 kilang yang menawarkan 15,846 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, mulai 1 Januari lalu, jentera PBT Pengerang digerakkan secara rasmi dengan 110 pasukan pegawai profesional dan kumpulan sokongan mahir.

“Saya tidak nafikan majlis hari ini membuktikan kepentingan peranan dan fungsi dimainkan sesebuah pihak berkuasa tempatan.

“Kerancakan pembangunan, kelancaran pelaksanaan polisi, malah kejayaan sesuatu agenda diperkenalkan amat bergantung kepada kecekapan dan keberkesanan operasi PBT,” katanya.

Tanpa PBT yang berfungsi dengan baik dan lancar, katanya, banyak agenda pembangunan dan dasar kerajaan tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Begitu juga dengan Pengerang. Sebagai wilayah pembangunan ekonomi yang pesat membangun dan berkembang, PBT Pengerang memainkan peranan amat besar dan kritikal.

“Selain memastikan kelancaran pengurusan berkaitan prosedur Kerajaan Negeri, PBT Pengerang menjadi pihak yang memikul tanggungjawab penting dalam memastikan pembangunan pesat di Pengerang berjalan teratur, selamat, lestari dan berkesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 10:36 AM