Kamaruzzaman (tiga dari kiri), Mohamed Khaled, Mustapa dan Azman pada majlis penyerahan dokumen perjanjian bersama pelabur.
Kamaruzzaman (tiga dari kiri), Mohamed Khaled, Mustapa dan Azman pada majlis penyerahan dokumen perjanjian bersama pelabur.
myMetro

Johor Bahru: Empat syarikat menyatakan kesediaan melabur lebih RM1.87 bilion di Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat (TLIC), Pasir Gudang.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Amity Energy Pte Ltd, Musim Mas Group, Johor Port Bhd dan C Steinweg Handelsveem BV akan beroperasi di tapak seluas 49.91 hektar dalam zon TLIC dengan nilai pajakan berjumlah RM214.31 juta.

Beliau yang juga Pengerusi Johor Corporation (JCorp) berkata, pelaburan itu menjadikan usaha anak syarikat kerajaan negeri itu berhasil dan mewujudkan 470 peluang pekerjaan di zon perindustrian itu.

“Komitmen pelaburan itu mencerminkan keyakinan pelabur asing dan tempatan terhadap kelebihan daya saing Johor sebagai hab pembuatan utama di rantau ini.

“Pelaburan ke kawasan perindustrian JCorp mencatatkan peningkatan 256 peratus dari segi jumlah pelaburan keseluruhan berbanding 2014.

“Pada 2015, JCorp menarik pelaburan bernilai RM8.9 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun sebelumnya.

“Pelaburan berjumlah RM8.9 bilion ini mewakili 29.59 peratus jumlah pelaburan diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam sektor pembuatan,” katanya

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengumuman Komitmen Pelaburan dan Pertukaran Dokumen Bersama Pelabur disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor, semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 7:26 AM