TIMBUNAN pakaian terpakai yang memenuhi di satu sudut masjid.
TIMBUNAN pakaian terpakai yang memenuhi di satu sudut masjid.
Yuzmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ada yang datang berulang-alik menghantar barangan dengan motosikal, ada juga orang bukan Islam menyumbang kerana simpati dengan apa yang berlaku, malah ratusan panggilan diterima sekretariat pusat pengumpulan induk setiap hari untuk menghantar sumbangan.

Itu situasi di Masjid Kampung Delek, Klang yang dijadikan pusat pengumpulan utama sumbangan misi Food Flotilla For Myanmar yang dijangka memulakan pelayarannya 31 Januari ini.

Dengan sasaran barangan keseluruhan 2,000 tan, ia menunjukkan semangat tinggi rakyat negara ini yang menghantar barangan di semua pusat di seluruh negara untuk diserahkan kepada etnik Rohingya dan masyarakat di Arakan, Myanmar.

Timbalan Ketua Logistik misi itu, Jamuliddin Elias berkata, ketika ini barangan makanan dan pakaian paling banyak disumbangkan dengan beras 30 tan, pakaian (35 tan) serta peralatan lain seperti kanvas, meja dan kerusi turut diserahkan kepada sekretariat.

Menurutnya, di Selangor saja, 80 masjid dijadikan pusat pengumpulan manakala negeri lain terdapat tidak kurang 20 masjid menerima barangan daripada rakyat Malaysia.

“Paling menyentuh hati, ada kalangan bukan Islam datang ke masjid kerana ingin membantu apa yang termampu. Kami terima, tidak ada masalah kerana ini sumbangan dan isu ini menyentuh setiap kumpulan masyarakat.

“Ada penderma berulang-alik dengan motosikal menghantar 600 helai selimut terpakai yang masih elok. Ini semangat yang kita semua perlu ada dan ia cukup dirasai ketika kami menguruskan semua barangan di sini,” katanya.

Pusat itu dibuka sejak 5 Januari lalu dan setakat ini mengumpul ratusan barangan serta makanan dan dijangka bertambah selepas tarikh kapal berlepas ditunda dari 10 Januari ke satu tarikh lain.

Jamuliddin berkata, sasaran Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama Yayasan Amal Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan lain membawa semua sumbangan untuk diagihkan nanti.

“Setakat ini ada yang menghantar lampin pakai buang, susu serta barangan asas lain, kami terima. Sekretariat sediakan lori meronda di sekitar kawasan ini untuk mengambil sumbangan orang ramai.

“Bukan itu saja, pelbagai persatuan dan pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta Majlis Perbandaran Klang (MPK) membantu membawa barangan ke Pelabuhan Klang,” katanya.

Jamuliddin berkata, setakat ini terdapat 10 sukarelawan menguruskan sumbangan di masjid itu dan beliau menggalakkan lebih ramai individu tampil untuk membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 10:37 AM