Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Logar: Kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Muslim Care Malaysia (MCM) dan Yayasan Amal Malaysia terpaksa melalui jalan berliku sejauh 300 kilometer untuk melihat sendiri 67 telaga dibina di pedalaman Afghanistan.

Bas dinaiki mereka terpaksa diiringi tentera Taliban susulan kebimbangan berlaku serangan pengganas atau kejadian tidak diingini di lokasi terpencil di Shahmazar di sini.

Sebaik tiba jam 11 pagi semalam, Timbalan Yayasan Amal Malaysia, Jamuliddin Elias dan Presiden MCM, Zulkifli Wahijan merasmikan pembinaan dua telaga tiub di dua masjid berasingan di situ.

Jamuliddin berkata, pembinaan telaga tiub bawah tanah itu adalah keperluan mendesak bagi kebanyakan penduduk luar bandar di Afghanistan pasca peperangan.

Beliau berkata, kebanyakan telaga tiub itu perlu digali sedalam lebih 30 meter bagi membolehkan sumber air dalam tanah diperolehi.

JAMULIDDIN Elias ( tiga dari kanan) dan Presiden MCM, Zulkifli Wahijan (empat dari kanan) merasmikan pembinaan dua telaga tiub di pedalaman Logar. FOTO Mohd Jamilul Anbia Md Denin
JAMULIDDIN Elias ( tiga dari kanan) dan Presiden MCM, Zulkifli Wahijan (empat dari kanan) merasmikan pembinaan dua telaga tiub di pedalaman Logar. FOTO Mohd Jamilul Anbia Md Denin

"Masalah kekurangan fasiliti bekalan air bersih adalah antara keperluan mendesak. Setakat ini sebanyak 62 telaga tiub bawah tanah berjaya dibina di pedalaman Afghanistan.

"Setiap telaga tiub itu menelan belanja pembinaan sekitar RM6,000. Ia adalah sumbangan wakaf rakyat Malaysia untuk membantu penduduk di Afghanistan. InsyaAllah jumlahnya akan ditambah kelak," katanya.

Sementara itu Zulkifli berkata, pihaknya turut menyumbang pembinaan lima telaga tiub dalam memberi manfaat bekalan air bersih kepada penduduk di sekitarnya.

Beliau berkata, kesemua telaga tiub berkenaan, mampu memberi manfaat kepada beratus keluarga bagi setiap kawasan.

"Malah kedudukan telaga tiub ini yang berhampiran masjid memudahkan jemaah untuk mengambil wuduk. Moga pahala penderma di Malaysia yang menjayakan projek ini `mengalir' seperti mana air yang dimanfaatkan penduduk di sini," katanya.

KEMUDAHAN telaga tiub bawah tanah yang membawa manfaat kepada ratusan penduduk di pedalaman Afghanistan. FOTO Mohd Jamilul Anbia Md Denin
KEMUDAHAN telaga tiub bawah tanah yang membawa manfaat kepada ratusan penduduk di pedalaman Afghanistan. FOTO Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 8:32 AM