Asrizal Aris


Kuala Lumpur: Promosi haru-biru. Itu yang boleh digambarkan di kebanyakan pasar raya di sekitar Lembah Klang apabila mengadakan jualan kelengkapan sekolah saat akhir pada harga berbeza walaupun jenama kelengkapan berkenaan sama.

Situasi itu sekali gus memeningkan pengunjung membuat keputusan tepat untuk menjimatkan perbelanjaan memandangkan peralatan sekolah mengalami kenaikan harga sehingga lebih 20 peratus kali ini.

Tinjauan Harian Metro di tiga pasar raya besar mendapati kelengkapan sekolah yang sama jenama dan kualiti mempunyai perbezaan harga sehingga RM10 mengikut promosi yang ditetapkan pihak pasar raya.

Meskipun harga asal barangan itu sama, ia jauh lebih murah apabila pasar raya mengadakan promosi potongan harga. Namun, ia tidak berlaku pada semua jenama dan jenis kelengkapan sekolah.

Suri rumah, Nur Aslinda Abdul Haris, 39, berkata, dia terpaksa menyelidik harga barangan sehingga lebih lima pasar raya di ibu negara bagi mendapatkan harga berpatutan.

“Tidak dinafikan saat-saat akhir musim cuti sekolah, pasar raya membuat promosi besar-besaran sehingga ada perbezaan harga yang jauh lebih murah.

“Tetapi, situasi pasar raya membuat promosi mengejut tanpa sebarang makluman dan tarikh tamat promosi mengganggu untuk kami membuat keputusan,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Menurutnya, situasi pembelian kelengkapan sekolah kali ini lebih kelam-kabut kerana kenaikan harga mendadak menyebabkan ibu bapa lebih memilih membeli kelengkapan yang tidak berjenama di pasar raya kecil.

Katanya, faktor kenaikan harga barangan sekolah menyebabkan kelengkapan yang berjenama tidak mendapat sambutan sehingga pasar raya sanggup membuat potongan harga sehingga 40 peratus.

Penjawat swasta, Muhd Ali Saifudin Hamzah, 34, berkata, isu kenaikan harga barangan persekolahan antara sebab beberapa pasar raya mengambil kesempatan meletakkan harga sendiri pada sesetengah kelengkapan yang berjenama.

“Disebabkan itu banyak peralatan sekolah yang berbeza harga dan ada antaranya membuat promosi, menyebabkan perbezaan harga mencecah sehingga lebih RM10,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Roslan Mahyuddin berkata, pihaknya bagaimanapun sentiasa memantau keadaan harga bagi jualan kelengkapan sekolah.

“Dari segi perbezaan harga, ia terpulang kepada premis sendiri untuk meletakkan harga promosi namun tindakan dikenakan kepada premis yang menaikkan harga melampau.

“Memang ada pihak yang mengambil kesempatan dengan isu kenaikan harga barangan persekolahan tetapi setakat ini keadaan masih terkawal,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pemantauan pihaknya turut mengambil kira dari segi kualiti barangan dan rampasan akan dibuat sekiranya mendapati ada premis yang melakukan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:42 AM