ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur membuat semakan harga di premis menjual peralatan elektronik dan komunikasi di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, semalam dan hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP
ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur membuat semakan harga di premis menjual peralatan elektronik dan komunikasi di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, semalam dan hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 15 peniaga peralatan elektronik dan komunikasi di pusat beli-belah di Bukit Bintang, di sini, diberikan notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi siasatan kenaikan harga.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan sebuah portal yang mendakwa terdapat perbezaan harga ketara bagi komputer riba pada tahun ini berbanding tahun lalu.

"Bertindak atas maklumat, kami memeriksa 15 premis jualan di pusat beli-belah itu semalam dan hari ini.

"Hasil pemeriksaan itu, kami mengeluarkan notis terhadap empat barangan iaitu komputer meja, komputer riba, mesin pencetak dan tablet bagi siasatan kenaikan harga.

"Peniaga berkenaan diberi masa dua hari bagi memberi maklum balas dan mengemukakan dokumen berkaitan kos barangan terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ariffin berkata, siasatan awal tidak menemui sebarang kenaikan harga di premis berkenaan seperti dilaporkan, namun siasatan berhubung perkara itu masih diteruskan.

Beliau berkata, pemeriksaan berkaitan kenaikan harga alat elektronik dan komunikasi oleh KPDNHEP Kuala Lumpur dilaksanakan mengikut Op Catut 8.0 (Kelengkapan Elektronik–Komunikasi).

"Dalam operasi ini, pemeriksaan dijalankan di premis perniagaan menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi di sekitar pasar raya dan peruncit yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mendapatkan barangan berkenaan.

"Antara kelengkapan elektronik dan komunikasi dipantau termasuklah komputer meja, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon pintar," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memeriksa 22 premis peniaga runcit utama membabitkan 28 jenis barangan kelengkapan elektronik dan komunikasi di sekitar ibu negara sepanjang pelaksanaan Op Catut 8.0.

Menurutnya, semua premis berkenaan diberi notis bagi tujuan siasatan harga jualan barangan elektronik terutama komputer riba.

Katanya, pengguna dinasihatkan supaya membuat perbandingan harga, memilih platform dalam talian yang boleh dipercayai dan menyemak spesifikasi barang mahu dibeli sebelum membuat keputusan pembelian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 6:30 PM