ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur membuat semakan harga di premis menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sejak kelmarin. FOTO IHSAN KPDNHEP
ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur membuat semakan harga di premis menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sejak kelmarin. FOTO IHSAN KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Siasat terperinci peniaga menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi yang disyaki sengaja menaikkan harga sesuka hati susulan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Itu tindakan agresif diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

terhadap peniaga sekitar ibu kota susulan dakwaan berlaku kenaikan harga barangan dijual.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan dari sebuah portal yang mendakwa terdapat perbezaan harga ketara bagi komputer riba pada tahun ini berbanding tahun lalu.

"Bertindak atas maklumat, kami membuat pemeriksaan terhadap 15 premis jualan di pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini sejak semalam.

"Hasil pemeriksaan itu, kami mengeluarkan notis terhadap empat barangan iaitu komputer meja, komputer riba, mesin pencetak dan tablet bagi siasatan kenaikan harga.

"Peniaga berkenaan diberi masa dua hari bagi memberi maklum balas dan mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan kos barangan itu," katanya tadi.

Ariffin berkata, siasatan awal juga tidak menemui sebarang kenaikan harga di premis berkenaan seperti dilaporkan, namun siasatan berhubung perkara itu adalah di peringkat awal dan masih diteruskan.

"Pemeriksaan berkaitan kenaikan harga alat elektronik dan komunikasi oleh KPDNHEP Kuala Lumpur dilaksanakan di bawah Op Catut 8.0 (Kelengkapan Elektronik–Komunikasi).

"Dalam operasi ini, pemeriksaan dijalankan di premis perniagaan yang menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi di sekitar pasar raya dan peruncit yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mendapatkan barangan berkenaan.

"Antara kelengkapan elektronik dan komunikasi yang dipantau termasuklah komputer meja, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon pintar," katanya.

Beliau berkata, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap 22 premis peniaga runcit utama yang membabitkan 28 jenis barangan kelengkapan elektronik dan komunikasi di sekitar ibu negara sepanjang pelaksanaan Op Catut 8.0.

"Semua premis berkenaan diberi notis bagi tujuan siasatan harga jualan barangan elektronik terutamanya komputer riba.

"Pengguna dinasihatkan supaya membuat perbandingan harga, memilih platform dalam talian yang boleh dipercayai dan menyemak spesifikasi barang yang mahu dibeli sebelum membuat keputusan pembelian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 7:15 PM