Sebahagian deretan teksi yang menunggu giliran mendapatkan penumpang di hentian KL Sentral, Kuala Lumpur .
Sebahagian deretan teksi yang menunggu giliran mendapatkan penumpang di hentian KL Sentral, Kuala Lumpur .
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejadian membabitkan dua pelancong Perancis yang terpaksa membayar tambang RM800 untuk jarak perjalanan enam kilometer, Sabtu lalu, mungkin dilakukan pemandu teksi warga asing yang berniat ‘sembelih’ penumpang hingga menjejaskan nama baik perkhidmatan itu.

Timbalan Pengerusi, Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) Kamarudin Mohd Hussain berkata, pihaknya sendiri melakukan siasatan terperinci sebaik mengetahui kejadian itu termasuk memeriksa nombor pendaftaran kenderaan suspek.

Beliau berkata, pemeriksaan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mendapati teksi jenis Proton Iswara itu sudah disita sebelum ini atas beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pemandu.

“Semakan menerusi perisian ‘Meter GO’ juga menunjukkan tiada sebarang rekod pemandu, sekali gus menunjukkan teksi yang dinaiki penumpang berkenaan tidak dipandu oleh pemandu teksi berdaftar.

“Saya berpendapat kemungkinan pemandu teksi berkenaan adalah warga asing yang berdaftar dengan syarikat tertentu sekali gus usaha mengesan individu berkenaan begitu sukar,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Kamarudin berkata, orang ramai seharusnya tidak menyalahkan semua pemandu teksi terhadap kejadian berkenaan berikutan penumpang juga memainkan peranan dalam menangani masalah terbabit.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak menaiki teksi yang enggan menggunakan meter dan kuasa terletak pada pengguna pilih yang lain iaitu pemandu mengikut peraturan ditetapkan.

“Janganlah apabila timbul masalah ini, pemandu teksi disalahkan dan lebih buruk lagi mengeluarkan komen atau pendapat di media sosial menghina kami,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Wawasan Gemilang Kuala Lumpur dan Selangor Adam Abdul Raffar berkata, dia tidak tolak kemungkinan kejadian itu didalangi pihak tertentu untuk memburukkan industri teksi negara.

Adam berkata, caj yang dikenakan pemandu teksi itu tidak masuk akal dan sepatutnya pelancong terbabit mengambil langkah drastik dengan menggunakan perkhidmatan lain.

“Pihak berkaitan perlu melakukan siasatan terperinci kerana perkara ini menjejaskan nama baik pemandu teksi malah turut menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan terhadap perkhidmatan ini.

“Saya percaya, individu yang melakukan itu mempunyai agenda tertentu, namun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan tindakan tegas perlu diambil jika terbukti memang pemandu teksi melakukan kesalahan itu,” katanya, ketika dihubungi, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 7:57 AM