AHLI Parlimen Sungai Besar,  Budiman Mohd Zohdi (kanan) dan Elyas  (dua dari  kiri) bersama pesawah menunjukkan pokok padi rosak akibat penularan BLB di Sekinchan.
AHLI Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi (kanan) dan Elyas (dua dari kiri) bersama pesawah menunjukkan pokok padi rosak akibat penularan BLB di Sekinchan.
Mohd Shukor Amin

Sungai Besar: “Sejak mengusahakan sawah lebih 40 tahun lalu, kejadian serangan bakteria ini paling buruk pernah saya hadapi apabila daun padi menjadi kekuningan dan kering,” kata Lee Loy Fong, 76, yang mengusahakan sawah padi di Sekinchan.

Sawah milik Lee bersama beberapa rakan lain terjejas teruk akibat diserang penyakit hawar daun bakteria (BLB) sejak November lalu hingga mengakibatkan pengeluaran hasil padi di kawasan itu merudum berbanding sebelum ini.

Menurutnya, pokok padinya mulai diserang selepas 110 hari ditanam dan lebih teruk lagi penyakit itu sehingga kini tiada ubatnya.

“Keadaan ini menyebabkan hasil pengeluaran kurang, sekali gus pendapatan juga terjejas,” katanya ditemui, kelmarin.

Tinjauan mendapati bakteria itu menyerang tanaman padi di Sekinchan, Sungai Besar dan Sabak Bernam membabitkan ribuan hektar sawah dengan pesawah mendakwa keadaan itu disebabkan baka padi varieti MR 284 yang kurang daya tahan penyakit terutama ketika cuaca tidak menentu sejak beberapa bulan lalu.

Pa Kin Kuang, 53, berkata, pendapatannya pada musim ini terjejas teruk apabila hanya memperoleh kira-kira RM4,800 berbanding RM10,000 sebelum ini bagi 0.4 hektar sawah.

“Selepas serangan bakteria ini, hampir keseluruhan tanaman padi saya seluas 1.6 hektar rosak, sekali gus mengalami penurunan hasil tanaman daripada 11 tan metrik kepada hanya empat tan metrik semusim,” katanya.

Menurutnya, varieti padi MR 284 digunakan kebanyakan pesawah di kawasan itu tidak mempunyai ketahanan tinggi terhadap rintangan penyakit dan mudah merebak dengan cepat.

“Bakteria ini akan hidup dalam benih, jerami padi, tunggul padi dan padi batat,” katanya.

Pesawah di Sungai Haji Dorani, Ahmad Salihin Selamat, 45, berkata, sawahnya seluas 8.4 hektar turut terjejas akibat penularan bakteria berkenaan.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dilakukan bagi mengawal BLB termasuk menggunakan sabun mandian dan peluntur baju, namun bakteria itu masih terus merosakkan pokok padinya.

Sementara itu Pengarah Pembangunan Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor Elyas Saad berkata, kadar pengeluaran padi di kawasan jelapang padi daerah itu pada musim tuaian kali ini dijangka mengalami penurunan berikutan serangan BLB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 9:29 AM