SERANGAN penyakit BLB di sawah.
SERANGAN penyakit BLB di sawah.

Apakah yang dimaksudkan dengan penyakit hawar daun bakteria (BLB) yang menyerang padi?

Zainal Ramli

Seberang Perai, Pulau Pinang

BLB adalah penyakit vaskular padi yang disebabkan bakteria Xanthomonas oryzae pv oryzae. Jangkitan bermula dari mana-mana bahagian daun terutama dari tepi dan hujung daun.

Ia boleh mengurangkan berat bijirin padi akibat kehilangan luas permukaan daun untuk fotosintesis. BLB juga menyebabkan kehilangan hasil hingga 50 peratus dan menjejaskan kualiti biji padi.

Laporan pertama BLB dikesan pada tahun 1967 dan pada varieti seribu gantang pada awal 1980 an. Wabak BLB yang serius pernah berlaku pada tahun 1988 dan 1994 dengan penanaman varieti yang rentan menyebabkan kehilangan hasil hingga 50 peratus.

Pada 2013, ia berlaku lagi di Sekinchan, Selangor dengan 80 peratus kawasan diserang BLB membabitkan varieti MR 220 CL2, MR 263 dan MR 269.

Baru baru ini, BLB agak serius berlaku di kawasan jelapang padi Barat Laut Selangor (BLS) iaitu kira-kira 7,800 hektar atau 40 peratus kawasan penanaman diserang BLB membabitkan varieti MR 284, MR 220 CL2 dan MR 219.

Antara keadaan yang kondusif untuk BLB seperti hujan lebat dan angin kencang berterusan, mendung, kelembapan yang tinggi, suhu sekitar 26 hingga 30 darjah Celcius, kadar baja nitrogen (N) tinggi serta jarak di antara tanaman yang rapat.

Penyakit ini boleh tersebar dengan cara percikan air hujan (hujan angin atau ribut) terutama ketika daun tercedera disebabkan angin, pengairan, banjir, peralatan ladang, benih tercemar dan pekerja sawah.

Simptom serangan bermula dengan warna hijau gelap kekelabuan pada hujung daun kemudian melebar dan bertukar menjadi kuning keperangan membentuk jaluran seperti corak berombak serta bergulung.

Pada awal jangkitan, selut bakteria kelihatan seperti embun putih atau kuning kelihatan pada awal pagi.

Sekiranya serangan teruk, jangkitan merebak ke seluruh bahagian daun dan berubah menjadi putih kekelabuan hingga daun kering serta mati.

Selain itu, simptom menunjukkan tangkai padi tidak produktif, isi padi tidak penuh dan berkualiti rendah.

Faktor utama menyumbang kepada sebaran wabak penyakit BLB ketiadaan varieti padi semasa yang rintang penyakit BLB, semua varieti padi semasa sedia ada adalah sederhana rentan atau rentan kepada penyakit BLB.

Pembangunan varieti baru yang rintang kepada penyakit BLB masih dalam peringkat kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Faktor cuaca yang sangat ‘digemari’ BLB iaitu hujan berturut-turut dan kelembapan yang tinggi. Kebanyakan petani didapati menggunakan baja N berlebihan dan tidak mengikut peringkat (semua baja subsidi habis pakai sebelum 50 hari selepas tanam).

Tidak mengamalkan semburan pencegahan racun berasaskan kuprum (anti-bakteria) untuk kawalan BLB, malah kebanyakan petani dipercayai menyembur apabila serangan teruk sudah berlaku.

Ada juga yang menggunakan racun salah seperti racun kulat dan peringkat kawalan salah juga antara penyumbang kepada penyakit BLB.

Penggunaan benih tidak sah kemungkinan dicemari BLB dan jika digunakan pada musim seterusnya boleh mendorong kepada kejadian penyakit BLB disebabkan kesediaan sumber inokulum BLB dalam benih berkenaan.

Pemantauan awal penyakit BLB dengan semburan racun berasaskan kuprum boleh dilakukan dengan segera. Racun berasaskan kuprum bertindak sebagai racun sentuhan, ia hanya boleh bertindak dengan berkesan sekiranya disembur pada awal serangan.

Langkah kawalan yang perlu diambil bermula dari peringkat pertumbuhan maksimum hingga terbit tangkai. Semua varieti padi semasa tidak tahan kepada serangan BLB.

Semburan pencegahan dengan racun berasaskan kuprum pada peringkat awal pertumbuhan iaitu 20 hingga 25 hari lepas tanam (HLT), pertumbuhan maksimum (45 hingga 50 HLT) dan terbit tangkai (65 hingga 70 HLT).

Semburan pencegahan apabila hujan kerap atau pada kawasan diserang musim sebelumnya. Pantau serangan BLB terutama pada peringkat kritikal dan semburan kawalan sekiranya jangkitan berlaku sebanyak dua atau tiga kali selang tujuh hingga 10 hari.

Selain itu, musnahkan sumber inoculum BLB (bakar jerami, tunggul dan padi batat secara menyeluruh), biarkan sawah kosong untuk kering bagi mengurangkan populasi bakteria dalam tanah serta residu pokok terutama selepas bajak pertama.

Petani perlu menggunakan benih yang sah dan bebas penyakit bagi mengelak sebaran patogen bakteria melalui benih serta mengawal kadar baja N dan diberikan secara berperingkat.

Kogeethavani Ramachandran

Pegawai Penyelidik Kanan Patologi Tumbuhan (Bakteriologi) MARDI, Seberang Perai

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 5:27 AM