STOR berkenaan. FOTO Ihsan PGA
STOR berkenaan. FOTO Ihsan PGA
Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Risikan selama dua hari oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) membuahkan hasil apabila menemui sebuah stor yang menyimpan sejumlah beras seludup di Kampung Bendang Buyong, Jalan Jedok, di sini, pagi semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam serbuan 4 pagi itu, dua lelaki berusia 24 dan 41 tahun yang dipercayai pemilik serta penjaga stor turut ditahan.

Beliau berkata, serbuan berikutan maklumat awam mengenai kegiatan penyimpanan beras seludup di sekitar pangkalan haram sempadan Malaysia-Thailand yang berdekatan stor terbabit.

"Kita menemukan lokasi beras seludup yang disimpan sementara sebelum diedarkan mengikut permintaan.

"Ketika serbuan dibuat, muncul dua lelaki yang mengaku pemilik serta penjaga stor berkenaan dan anggota kami mengarahkan mereka membuka pintu stor.

"Hasil pemeriksaan menemukan sebuah lori dan sebanyak 22 tan beras serta 23 tan beras pulut yang disyaki diseludup daripada Thailand," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nor Azizan berkata, pihaknya juga menemui beberapa cop Jabatan Kawal Selia Padi dan Beras negeri Kelantan yang dipercayai dipalsukan.

"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM299,000 dan laporan dibuat di Balai Polis Batu Gajah untuk tindakan lanjut.

"Semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kawal Selia Padi dan Beras negeri Kelantan dan disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 8:46 AM