ANTARA beras seludup yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
ANTARA beras seludup yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
Siti Rohana Idris


KELIBAT sebuah lori yang keluar masuk dari pangkalan haram Kuala Jambu ke sebuah stor beras di Kok Seraya, Chabang Empat, di Tumpat, membongkarkan penemuan 23,750 kilogram (kg) beras siam yang dianggarkan bernilai RM76,000.

Serbuan sempena Ops Wawasan sempadan Malaysia-Thailand (Kelantan) dilakukan di stor itu kira-kira jam 3 pagi, semalam oleh sepasukan anggota daripada Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan menemui sebanyak 475 kampit beras seludup.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Ramli Poncho berkata, dalam operasi itu, empat lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 55 tahun ditahan.

“Sebelum serbuan dibuat, anggota kami menjalankan intipan pada jam 10 malam kelmarin di laluan tikus pangkalan haram Kuala Jambu dan ternampak sebuah lori keluar ke jalan raya menuju ke stor beras di Kok Seraya.

“Pada jam 2.45 pagi, semalam kelibat lori yang sama kembali ke laluan tikus pangkalan haram terbabit dan menggunakan jalan yang sama untuk ke stor beras menyebabkan pihak kami terus menahan pemandu berkenaan.

“Pemeriksaan di dalam lori itu menemui 125 kampit beras seludup dengan setiap satunya 50 kg,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, anggotanya kemudian ke stor beras di Kok Seraya dan ketika tiba di stor itu, ia dalam keadaan berkunci.

Namun, ketika intipan dibuat, terdapat seorang lelaki berada di dalamnya sebelum diarahkan membuka pintu.

Katanya, pemeriksaan dalam stor itu menemui 350 kampit beras dan semua beras itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand menerusi jalan yang tidak diwartakan.

“Kesemua 475 kampit beras dan lori dirampas termasuk dokumen yang dikemukakan kerana agak meragukan.

“Semua tangkapan dan rampasan akan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negara Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 1:58 PM