KEADAAN kereta yang terbakar di Kilometer 298, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur Bangi.
KEADAAN kereta yang terbakar di Kilometer 298, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur Bangi.
myMetro

Bangi: Seorang lelaki panik sejurus kereta dipandunya terbakar di bahagian enjin ketika melalui Kilometer 298, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur Bangi, di sini.

Dalam kejadian jam 10.50 malam kelmarin, mangsa, G Daniel Devan, 26, memandu bersendirian kereta model Toyota Corolla dari Seremban menuju ke Kuala Lumpur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bangi, Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.53 malam dan sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Seramai empat anggota dan pegawai ke lokasi kejadian. Setibanya anggota di lokasi kejadian, didapati terdapat sebuah kereta terbakar di tepi lebuh raya berkenaan,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pemilik kenderaan mendakwa dia segera memberhentikan kereta di tepi jalan dan menyelamatkan dirinya.

Azmel berkata, pemilik kereta itu mendakwa kenderaan itu sudah lama digunakan bapanya sejak dia masih bersekolah lagi.

“Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran. Kereta itu mengalami kerosakan 20 peratus di bahagian hadapan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan pemilik kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 10:10 AM