Nadzreen Shah Mat Salim


Bandar Baru Bangi: Seorang wanita dan dua anaknya panik apabila terperangkap di dalam lif selama lebih 15 minit di sebuah premis di Jalan Medan Bangi, Bangi Sentral, di sini.

Dalam kejadian jam 4.45 petang kelmarin, mangsa, Hartini Hamdan, 28, bersama anak lelaki dan perempuannya masing-masing berusia empat dan enam tahun terpaksa menjerit meminta bantuan dari orang awam.

Malah, mangsa turut menghubungi bomba menggunakan telefon pintar bagi mendapatkan pertolongan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bangi, Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.51 petang dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Seramai tiga anggota dan pegawai bergegas ke lokasi. Setibanya di sana, kami segera mengesan kedudukan lif dinaiki mangsa,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

“Mangsa terperangkap dalam lif bersama anaknya ketika mahu keluar dari premis berkenaan. Kami terpaksa menggunakan tangga bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di tingkat satu bangunan.

“Anggota bomba mengambil masa lima minit untuk menyelamatkan wanita dan dua anaknya itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 9:32 AM